HALAMAN UTAMA

Jika Muallaf Terkapai-kapai, siapa bertanggungjawab?

Asslamualaikum, saya ingin meminta pandangan rakan-rakan Facebook, blogger dan pembaca sekalian, minta pandangan rakan-rakan, Jumaat baru-baru ini, ketika duduk di dalam Masjid UPM, saya telah didatangi seorang cina yang memperkenalkan diri sebagai muallaf dan menceritakan masalahnya yang tiada duit untuk pulang ke rumah di Pulau Pinang.  

Beliau memberitahu bahawa dompetnya telah hilang sambil menunjukkan satu surat laporan polis kepada saya bertarikh 24/04/2012 kalau tak salah. Beliau memberitahu bahawa dompetnya telah hilang bersama-sama dengan kad Islamnya. Menurut ceritanya, beliau telah memeluk Islam di Perlis pada tahun 2008 dan keluarganya pun dah tak dapat menerimanya lagi. 

Umurnya dalam lingkungan 40an yang datang daripada PWTC itu kerana ajakan rakannya memberitahu yang dia pernah ada bekerja dengan sebuah kedai tetapi telah berhenti. Beliau sudah berada di Kuala Lumpur lebih kurang seminggu untuk mencari kerja tetapi tidak dapat kerja. Dan bertekad untuk pulang semula ke Pulau Pinang.


Kemudian, saya bertanya kepadanya bagaimana beliau boleh berada di Masjid UPM, dan menyatakan bahawa dia ke Masjid tersebut kerana diberitahu di situ terdapat kelas-kelas agama yang mana dia boleh belajar agama dan juga terdapat ruangan untuk tidur.  Namun, apabila tiba di Masjid tersebut tidak seperti yang diberitahu kepadanya sebelum ini kerana tidak seperti apa yang diperkatakan kepadanya.

Saya juga bertanya kepadanya sudahkah berjumpa dengan Tok Imam Masjid tersebut, tetapi mengikut katanya Imam tersebut meminta beliau ke Pusat Islam masjid tersebut selepas solat Jumaat dan apabila ke Pusat Islam, beliau hanya diberi RM5. Kemudian, beliau telah mendapat RM10 daripada seorang hamba Allah yang lain. Dengan percakapannya yang berdialek cina, dia mengadu bahawa macam mana dia nak buktikan yang dia sudah masuk Islam sebab kad Islamnya telah hilang. Dia juga berkata, namanya memang ada dalam sistem komputer jika disemak senarai orang yang telah memeluk Islam dengan bersungguh-sungguh sambil berasa ketakutan sedikit dan meminta maaf beberapa kali kerana bimbang dimarahi kerana meminta-minta.

Dia juga memberitahu setiap hari beliau terpaksa meminta makanan di kedai makan untuk mengalas perut berbanding dengan meminta wang. Dia juga berulang kali mengatakan 'Saya pun malulah meminta-minta dengan orang, tapi nak buat macam mana?'. Dalam hati saya terfikir, apa yang boleh dilakukan untuk membantunya? Walaupun kadang-kala timbul keraguan, namun saya menganggap itu adalah benar, jika kita tidak membantu siapa lagi boleh bantu? Jika dia tidak berbohong, sudah tentulah kita akan telah mengabaikan tanggungjawab sesama saudara. Tetapi jika dia berbohong, itu urusannya dengan Allah.


Dia hanya mengharapkan bahawa jika dapat berjumpa dengan sesiapa yang dapat membelikan tiket untuknya pulang ke Pulau Pinang sudah cukup baginya kerana duit itu pun belum tentu mencukupi untuk membeli tiket pulang. Itulah harapannya ke Pusat Islam untuk mendapatkan sedikit bantuan membeli tiket bas. Saya pun mahu kepastian, ke mana dia mahu pergi selepas ini? Dia memberitahu bahawa dia mahu ke Puduraya untuk pulang ke Pulau Pinang. Namun, jika tak dapat tiket pulang, dia akan tidur di situ sehinggalah tidak tahu bila mungkin sehingga dapat membeli tiket pulang ke Pulau Pinang. Beliau menambah sudah ke baitulmal juga untuk meminta bantuan tetapi tidak dapat apa-apa.

Jadi, saya dengan niat untuk membantu beliau saya menawarkan untuk dihantar ke stesen komuter Serdang kerana itu yang saya mampu bantu pada ketika itu. Dia pun tidak menolak dan bersetuju untuk dihantar ke tempat dia datang tadi.  Saya pun menghulurkan beberapa RM untuk meringankan sedikit beban beliau.

 


Ulasan saya:


Saya mendengar kisah muallaf ini dan mengaggap saya perlu bantu sekadar yang mampu. Berbohong atau tidak, persoalan kedua. Saya beranggapan, beliau mungkin tidak tahu mana saluran yang boleh dia minta bantuan sebagai seorang Islam, seperti ke baitulmal, pusat zakat, PERKIM dan lain-lain. Saya juga berfikir, kalau benar-benar muallaf ini telah berjumpa dengan Imam atau orang yang bertanggungjawab tetapi tidak dibantu, bagaimana pula orang yang tidak memegang tanggungjawab menjaga kemaslahatan saudara seIslam mahu membantu? Adakah mereka berani untuk bantu? atau sekurang-kurangnya memberikan jalan atau saluran yang betul kepada dia? Oleh itu, saya bertindak mengikut hati saya yang mahu membantu sakadar yang termampu sahaja kerana saya meletakkan diri saya dalam situasi muallaf tadi. Apa pula yang kita mahu jika dalam situasinya nanti. Wallahua'lam.

 


Pandangan saya:

  1. Jika beliau benar-benar meminta sedekah, pasti beliau duduk di Kuala Lumpur, lebih banyak hasilnya berbanding datang ke Masjid UPM.
  2. Jika dia benar-benar mahukan duit, pasti dia tidak meminta untuk mendapatkan tiket bas pulang ke Pulau Pinang.
  3. Dia juga mengakui susah mahu meminta duit orang, lebih baik dia meminta makanan dan meminta tiket untuk pulang.
  4. Daripada caranya bercakap juga boleh diagak, sama ada dia memang dalam kesusahan ataupun tidak.

 Persoalannya:-

  1. Jika situasi ini benar-benar berlaku kepada muallaf kita, bagaimana tanggungjawab kita sebagai saudara seIslam?
  2. Adakah mereka yang muallaf tidak mendapat bimbingan yang sewajarnya daripada pihak yang bertanggungjawab?
  3. Apakah yang anda lakukan jika berhadapan dengan situasi ini? Mahu membantu? Tidak percaya dengan mereka? dan biarkan sahaja (abaikan)?
  4. Dan ke manakah tempat yang patut merka pergi dan patut kita hubungi untuk membantu mereka ini yang memerlukan bantuan pada ketika itu?
Apakah pandangan rakan-rakan dan saudara pembaca sekalian? Jika ada yang sudi berikan pandangan, silalah kongsikan bersama. Ini kali kedua saya berjumpa dengan muallaf seperti ini. Jika ada apa-apa cadangan tindakan, saya amat alu-alukan, semoga dapat dimanfaatkan pada masa akan datang. Semoga dapat kongsikan bersama. Insya-Allah.


KISAH 6 BULAN BARU MUALLAF DI MASJID DAMANSARA DAMAI 


Sekian, Terima kasih.
MINDA INSAN - Info Ditambah, Minda Bercambah.

Tiada ulasan:

Nuffnang