Assalamualaikum, pada 3 Februari 2012 lalu, saya telah berpeluang ke Hutan Lipur Sekayu yang terkenal dengan Air Terjun Sekayu kerana memenuhi jemputan perkahwinan rakan di Kuala Terengganu. Jadi, hari ini saya ingin kongsikan satu lokasi rekreasi yang terdapat di Terengganu yang mana mungkin boleh dijadikan satu lokasi pilihan untuk berehat-rehat atau pun menjalankan aktiviti riadah. Mungkin anda yang tinggal di Terengganu sudah biasa dengan tempat ini. Hutan Lipur ini terletak kira-kira 52.6km daripada Kuala Terengganu dan juga kira-kira 18.4km daripada pekan Kuala Berang. Ianya telah menjadi salah satu lokasi air terjun yang boleh dikatakan popular di Terengganu 'zamang-berzamang' bak kata Saleem dalam lagunya.
Saya bersama beberapa orang rakan Mohd Nizaruddin Sumeri, Mu'adz Mohd Fauzi dan Mohd Asri Zulkifli telah ke Sekayu untuk melihat keindahan salah satu kawasan rekreasi yang ada di Terengganu. Sambil berjalan-jalan di kawasan sekitar, saya dapati terdapat beberapa aktiviti yang boleh dijalankan di kawasan tersebut. Antaranya:-
- Bermandi-manda
- Berkhelah
- Bersantai
- Jungle Tracking
- Berkhemah
Saya juga kongsikan beberapa panorama dan gambar yang sempat saya ambil menggunakan Kamera Digital Olympus ketika berkunjung di Hutan Lipur Sekayu ini bersama pembaca sekalian. Mungkin menarik dan mungkin juga tidak. Apa pun selamat melihat.
Selain itu, terdapat beberapa kemudahan yang boleh digunakan pengunjung ketika berada di sana. Namun, pada saya terdapat beberapa yang masih perlu diperbaiki seperti tandas bagi memastikan keselesaan pengunjung dan juga pelancong. Saya kongsikan antara kemudahan yang disediakan :-
Terdapat beberapa bahagian yang menarik untuk pengunjung singgah di sepanjang sungai yang sangat jernih dan sejuk. Saya berpeluang untuk mandi di kawasan tersebut. Namun, batu-batu yang banyak kadang-kala berbahaya untuk kanak-kanak kecil kerana berkemungkinan boleh berlaku sesuatu yang tidak diingini. Jadi, keselamatan perlu diutamakan.
Pengunjung juga dinasihatkan dan perlu berwaspada kepada bunyi siren yang memberikan amaran kepala air. Amaran ini perlulah diambil perhatian bagi memastikan tiada kemalangan yang boleh meragut nyawa pengunjung seperti beberapa kes yang telah berlaku sebelum ini.
Fenomena Kepala Air
- Fenomena aliran arus deras (Kepala Air) secara semulajadi.
- Sentiasa berwaspada dengan fenomena ini semasa bermandi-manda.
- Tanda-tanda awal fenomena ini ialah:-
- Keadaan langit gelap di bahagian hulu sungai (Kawasan Puncak Bukit) disertai dengan bunyi guruh yang kuat.
- Bunyi dentuman gerakan batu-batan/air dari hulu sungai.
- Air sungai berbuih dan meningkat secara tiba-tiba.
- Siren amaran berbunyi.
- Apabila tanda-tanda ini dikesan, anda perlu memastikan diri dan keluarga anda meninggalkan kawasan sungai dengan serta-merta.
- Kejadian arus deras ini (Kepala Air) boleh berlaku bila-bila masa.
- Tindakan anda menjamin keselamatan diri dan keluarga anda.
Jika saudara pembaca berminat, saya juga sertakan beberapa maklumat untuk panduan saudara seperti yang di bawah:-
Semoga anda mendapat maklumat dan dapat merancang dengan baik jika ingin bersama keluarga atau pun rakan-rakan berekriasi di Hutan Lipur Sekayu atau pun Air Terjun Sekayu, Terengganu ini. Selamat bercuti-cuti Malaysia di Terengganu.
Sekian, Terima kasih.
MINDA INSAN - Info Ditambah, Minda Bercambah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan