Sambungan kisah Realiti seorang banduan di Penjara Sg Buloh siri keempat.
Selesai solat maghrib berjemaah, aku tersentak seorang diri. Ibarat mimpi dah jadi nyata. Selama ini aku pernah bercita-cita untuk masuk ke penjara. Hari ini aku dah jejakkan kaki sendiri dan akhirnya dapat juga beribadah dalam kamar besi yang cukup menakutkan bagi kebanyakkan orang. Tapi ini jalan yang aku pilih dan aku nekad. Jai mula menyapa aku. “ Kau dah makan belum ni? Aku menjawab, belum makan malam lagi. Jap, aku bagitahu cikgu..” Jai membantu ku dapatkan makan malam walaupun waktu makan malam dah tamat tempoh, iaitu pada pikul 5.30 petang dan biasanya sehingga maghrib shj. Tapi Jai berusaha dapatkan juga makan malam untukku, dan Cikgu yang bertugas untukku meminta banduan kerja untuk dapatkan makan malam buatku. *(banduan kerja ni adalah banduan yang bebas bergerak di luar kawasan sel tapi masih dalam kurungan penjara dan biasanya terdiri daripada mereka yang dah lama menetap di penjara. Dan banduan ni akan berebut-rebut nak jadi banduan kerja, tukang bagi makanan ke, tukang mop lantai ke, tukang ambil catatan ke dan macam2 kerja lagi.)
Dan aku diminta menghulurkan bekas makanan untuk diletakkan nasi. Aku jawab, takde pulak diorang bagi tray tadi. Jai hanya mengisyaratkan tangannya kepada hujung tempat aku mandi tadi iaitu timba atau cebok yang digunakan untuk mandi, basuh baju dan sebagainya. Ya, timba tu lah juga diguna sebagai bekas makanan kami semua banduan. Aku pun bagi timba untuk diisi makanan. Nah, nasi dengan ikan jaket dan sayur labu air. Itulah hidangan pertamaku dalam penjara dan dihidang dalam timba. Tanpa banyak soal, aku habiskan sesegera mungkin memandangkan aku tidaklah cerewet dalam soal makanan. Sudah biasa macam dalam tamrin latihan kepimpinan juga yang hanya guna daun pisang.
Selesai makan, Jai menyambung ceritanya bersamaku. Seronok katanya waktu jadi askar dulu-dulu. Sudah bertunang sebelum ini dan akan bernikah dalam waktu terdekat. Tapi semuanya hancur musnah apabila satu roadblock dibuat di kawasan perumahannya sehingga dia ditahan dan tambah pula dia dituduh membawa dadah. Dia pun tak tahu macam mana mereka boleh syak bahan yang dibawa adalah dadah. Katanya, dia berserah pada takdir Tuhan. Mungkin ini ujian Allah untuk dia dan nak dia dekatkan diri pada Tuhan. Katanya, “ Tunggulah satu hari nanti, aku nak buktikan pada semua yang aku bukan penagih dadah…”
Aku hanya diam tersenyum dan Jai meminta aku pula bercerita latar belakang keluarga. Aku mula bercerita yang aku sudah berkahwin. “ Hah, biar betul kau ni bro. Umur kau berapa? Jai bertanya kepada aku. Aku jawab, “ Umur aku 24, dan isteri aku baru mengandung 3 bulan. Tu pun tengah pening-pening alahan lagi…” Jai menggeleng kepala, “ Ish kau ni biar betul bro…berat apa yang isteri kau kena lalui ni..” dan aku hanya tersenyum sambil menjawab, “ Sape tak sayang isteri bro, risau, bimbang, gundah gulana aku memikirkan isteri aku kat luar tu…tapi aku yakin, bila isteriku pesan pada aku waktu kat mahkamah pagi tadi…Dia pesan… “ Kalau ini keputusan abang, sayang hormat dan sayang sokong sepenuhnya…abang jaga diri ye…” Masih terngiang-ngiang di telingaku pesan isteriku tadi. Dan aku kirim doa moga Allah menjaga isteriku. Tambah lagi isteriku nanti akan tinggal bersama keluarganya di Sg Buloh ni je. Jawab aku ringkas kepada Jai...
Jai hanya tersengih dan sebut kat aku, “ Gila kau ni..tapi dah memang takdir kita bertemu kat sini kena hadapi juga lah ek..” Kata Jai yang berasal dari Johor. Jai bertanya lagi pada aku,” Kau hisap rokok tak? Aku hanya menggeleng. Jai menyambung cerita, “ Hish, naik tension aku tak jumpa rokok dah seminggu ni..tapi aku dah dapat tembakau (ada istilahnya tapi aku lupa) cuma nak gulung guna suratkhabar ni nanti takde spark pulak. Ish, susah-susah.”
Aku mengerut dahi dan kening, “ Macam mana kau boleh dapat tembakau ni? Dan ‘spark’ tu apa pulak? Jawab Jai, “ Oh..yang ni tak boleh bising-bising…ni diorang seludup dari mahkamah tadi la ni…biasanya barang-barang seludup ni boleh dapat kat mahkamah je…Biasanya budak-budak ni tukar barang la kalau nak.. Dalam penjara ni mana ada lighter bro…Dan ‘spark’ tu ialah kepala lighter. Kan kalau kepala lighter kan kalau kau geserkan akan ada percikan api. Percikan api tu akan nyalakan sumbu, dan bara sumbu tu akan nyalakan rokok nanti…Sumbu tu pulak diorang buat daripada benang seluar jeans yang dah koyak tu…diorang ambil seurat-seurat…” Pergh, panjang Jai ceritakan macam mana realiti kehidupan kat penjara.
“ Kau tahu tak, dalam penjara ni diorang licik duk seludup macam-macam. Aku ni hisap rokok je, tak hisap benda-benda lain.. Kalau sel lain ni siap ada yang duk seludup dadah la, syabu la..macam-macam…nanti aku cerita bukan kau paham pun, kau ni kan budak universiti lagi..haha…” kata Jai kat aku sambil berseloroh. Ish macam-macam dalam penjara. Tambah Jai lagi, “ Kalau kau nak tahu, diorang ni suka mencuri barang orang dalam sel ni. Pastu diorang buat barang pertukaran la dalam penjara ni nanti untuk dapatkan barang-barang yang diorang nak. Contoh macam baju kau ni ke, seluar jeans ke, diorang sanggup curi dan tukar untuk barang lain. Kau jaga la elok-elok barang-barang persendirian.” Aku pun terus cerita kat Jai mengenai hilangnya baju Blackout505 aku petang tadi. “ Oh, patutlah baju aku cepat sangat kena kebas petang tadi…” Jai menyambut, “ Memang pun bro. Apa yang ada depan mata diorang akan rembat je cepat-cepat..Sekelip mata je..”
Jai pun mencapai surat khabar bahasa Cina dan koyakkan sedikit dalam cebisan yang kecil memanjang. Aku pun tanya, “ Kau nak buat apa tu Jai? Dia menjawab, “ Ha, nilah cara nak buat rokok dalam penjara ”. Aku hanya tersengih sambil perhatikan gelagat Jai gulung rokok. Aku paham sangat macam mana perangai perokok tegar ni. Sambil-sambil tu Jai sambung lagi ceritanya. “ Aku pesan kat kau ni supaya berhati-hati la lepas ni. Bukan apa, malam ni last la untuk aku menginap di blok Damai ni. Lepas ni aku akan turun blok…” Aku pun mencelah, “ Apa pulak maksud turun blok? ”. “ Turun blok ni maksudnya kau dah habis tempoh 2 minggu di blok Damai ni. Lepas tu akan pindah ke blok lain pulak. Dan malam ni dah malam ke 14 aku kat blok Damai ni. Esok pagi aku pindah ke tempat lain pulak ” Jai menambah.
Dan aku hanya mengangguk. “ Ooo macam tu. Habis tu dalam masa 14 hari ni family kau dah berapa kali datang melawat?” Jai hanya sinis, “ Uish, duk dalam kuarantin ni mana boleh melawat lagi bro. Habis kuarantin nanti baru lah family boleh melawat. Kurang-kurang duduk dalam ni 14 hari baru waris boleh melawat satu kali. Tu pun kalau dibenarkan lah”. Dalam hati aku waktu itu cukup berdebar-debar, macam mana lah aku nak bertanya khabar isteriku nanti. Tak pernah pulak aku tinggal sampai 14 hari tanpa khabar berita. Kurang-kurang ada la jugak call atau sms. Terutama waktu aku Jelajah kempen PRU13 baru-baru ni, sibuk betul aku sepanjang fasa kempen. Tiada lain aku hanya berserah diri pada Tuhan waktu tu.
Sambil-sambil berborak kencang datang seorang Cikgu memerhatikan setiap sel supaya berada dalam keadaan terkawal. Kebetulan sel aku berada di tingkat bawah dan paling dekat dengan meja Cikgu yang bertugas malam tu. Cikgu tu pun menyapa kami berdua, “ Ha, tengah buat apa tu kamu berdua ni? ”. Cepat-cepat Jai menyembunyikan kepingan kertas dan tembakau yang sedang digulung untuk buat rokok tadi. “ Takde buat apa cikgu, duk menyembang je, berbual-bual baru kenal…” Jai menjawab slumber kepada cikgu. “ Ha, kamu budak baru ok tak duduk dengan askar ni? Dia ada buli kamu tak? ”. Aku jawab, “ Takde cikgu, kira beruntung la saya dapat duduk dengan askar ni. Banyak benda baru yang dia ajar saya, timba pengalaman.”
Cikgu menyambung, “ Ha askar, kamu ni jangan la pulak duk mengajar benda-benda tak elok kat budak ni.” Jai sambut, “ Baik cikgu ”. Cikgu pun terus beredar meninggalkan kami berdua. Jai terus menyambung, “ Aku lupa pulak nak bagitahu kau satu perkara penting. Dalam penjara ni kena pandai cover line. Biasanya diorang ni kalau cikgu datang dekat dengan sel diorang akan laung kuat-kuat, “ Air, air, air…” Alaa, macam orang jual air dalam stadium tu. Ha tulah tanda line tak clear! Cikgu datang…” Aku menarik nafas panjang, “ Laa, macam tu pulak…” Macam-macam Jai duk ajar aku tentang cara hidup sebenar banduan dalam penjara ni. Padahal si askar Jai tu baru je duduk di penjara Sg Buloh ni selama 14 hari! Dah banyak pengalaman baru aku waktu tu! Tapi tak puas aku mendengar realiti cerita penjara ni!
Sambil tu aku pun duk melipat baju Blackout505 aku untuk dibuat bantal. Rasa nak baring sekejap. Time tu baru terasa badanku cukup letih setelah seharian bertolak jam 6 pagi lagi untuk ke mahkamah Duta sebelum aku dibawa ke Sg Buloh. Jai mula bertanya kepada aku, “ Apa maksud baju kau tu? Blackout 505? ”. Aku tersenyum lebar sambil menjawab, “ Oh, blackout 505 ni adalah isu penipuan pilihanraya 13 baru ni. Macam-macam isu lah yang berlaku, isu dakwat tak kekal lah, isu pengundi hantu lah, isu tempat pengiraan undi yang tiba-tiba blackout (terpadam lampu), lepas tu kira-kira semula terus BN menang. Semua isu ni kami lawan la, dan sebab tu ada himpunan Blackout 505 ni. Tu yang aku pun tak sangka apa yang akan jadi hari ni dan kebetulan aku pakai baju blackout 505 ni. Tapi aku rasa tadi semua dah kecoh dah waktu baju aku hilang sekejap petang tadi. Sekurang-kurangnya aku dah bawa mesej bantah penipuan PRU ni sampai dalam penjara!”
Jai pun menghembus nafas panjang, “ Ooo macam tu…aku ingatkan apalah tadi…tapi memang cantiklah baju Blackout kau ni…” Aku hanya angguk mengiyakan sambil aku mula baring merehatkan badan yang sudah cukup penat…
Bersambung lagi…
Sekian, Terima kasih.
MINDA INSAN - Info Ditambah, Minda Bercambah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan