Assalamualaikum, pada 27 Ogos 2013 lalu, para Imam Muda Astro Oasis Musim 1, 2 dan 3 telah membuat usrah dan membincangkan mengenai isu Mesir dan Syria. Dalam perbincangan mereka dalam usrah tersebut, maka beberapa pendirian telah disepakati dalam usrah tersebut. Maka satu kenyataan rasmi telah dikeluarkan untuk menyatakan pendirian mereka berkaitan isu tersebut.
Kenyataan berikut dipetik daripada Facebook Suara Imam Muda yang dikeluarkan pada 8 malam 29 Ogos 2013. Boleh rujuk di bawah kenyataan yang dipetik:
KENYATAAN RASMI DAN PENDIRIAN PARA IMAM MUDA ASTRO OASIS DALAM ISU MESIR DAN SYRIA
Setelah perbincangan para Imam Muda Astro Oasis Musim 1, 2 dan 3 dalam usrah Imam Muda yang bertarikh 27 Ogos 2013 dalam isu Mesir dan Syria. Maka kami berpendirian bahawa:
1. Rasulullah SAW telah menegaskan didalam hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik : “ Tolonglah saudara-saudara kamu yang menzalimi ataupun yang dizalimi. Maka seorang sahabat bertanya , kami akan menolong sekiranya dia dizalimi. Jika dia yang menzalimi bagaimana pula kami mahu menolongnya?. Jawab Rasulullah SAW, kamu menghalangnya dari melakukan kezaliman. Yang demikian adalah pertolongan kamu kepadanya. (Hadith riwayat Bukhari).
Oleh sebab itu dalam isu Mesir dan Syria ini, mempertahankan orang yang dizalimi adalah wajib kerana itu adalah hak mereka. Manakala menghenti, menghalang dan menegah kezaliman orang yang menzalimi juga wajib kerana membuat kezaliman bukanlah hak mereka.
2. Kami berpendirian bahawa General As Sisi, golongan perampas kuasa dan yang seangkatan dengannya tidak boleh diiktiraf sebagai kerajaan, Sultan, hakim, amir dan pemerintah yang sah dari sudut pandangan syarak kerana ianya belum dibentuk secara majoriti rakyat dalam pilihanraya yang sah dan ianya masih lagi dan proses penggulingan.
Oleh sebab itu sebarang hujah dan hukum pemerintah atau sultan didalam Islam tidak boleh dikaitkan kepada As Sisi dan kuncu-kuncunya. Manakala mereka yang keluar menentang golongan ini tidak boleh dianggap sebagai golongan khawarij pada pandangan syarak kerana mereka mempertahankan Presiden Mursi iaitu sultan dan pemerintah yang sah pada syarak.
3. Kebangkitan rakyat di Mesir adalah suatu yang sah dari sudut syarak kerana kebangkitan mempertahankan hak dan menghentikan kezaliman. Manakala kebangkitan rakyat di Syria juga adalah sah dari sudut syarak kerana pertembungan akidah antara hak (Islam) dan batil (syiah nusairiah baathiniyyah ) dalam negara majoriti umat Islam, mempertahankan hak dan menghentikan kezaliman. Maka gerakan dan tindakan mereka adalah jihad yang membolehkan mereka mendapat anugerah syahid di jalan Allah SWT.
4. Pertembungan yang berlaku akhir-akhir ini adalah pertembungan antara Islam dan golongan yang sempurna pada mereka ciri-ciri munafik. Ia juga adalah pertembungan antara Islam dan kufur. Ianya adalah fitrah sunnatullah yang berlaku sejak zaman para nabi-nabi yang terdahulu walaupun berbeza plot episod ceritanya dan berlainan watak utamanya.
5. Teruskan berdoa untuk adik beradik dan saudara mara kita di Palestin, Syria, Mesir, Arakan Myanmar dan lain-lain negara umat Islam serta pastikan keterlibatan kita dalam program bantuan kepada negara-negara ini semampu yang boleh. InsyaAllah ada jawapan kita di hadapan Allah SWT kelak insyaAllah.
Sekian..Segala yang hak itu hanya pada Allah SWT.
Suara Imam Muda Astro Oasis
Musim 1, 2 dan 3
Selain itu, dipetik juga kenyataan beberapa Imam Muda di dalam Facebook mereka seperti yang di bawah:
Statement IM Azhar:
Sahabat kita ramai terkorban di Mesir. Ada yang berkata, "itulah akibat kebodohan lawan pemimpin." Bodohkah kalau ikut cakap nabi kita? Bodohkah kalau lawan orang yang zalim? Bodohkah kalau menyokong pemimpin adil yang sah dipilih secara demokrasi?
Saya mengajak teman2 utk terus menyokong rakyat Mesir dan Dr Morsi. Mereka orang yang benar. Mereka ikhlas. Sekarang mereka teraniaya. Bantulah mereka. Dengan apa saja. Sekurang-kurangnya DOA. - Imam Muda Azhar.
Sekadar berkongsi, apa pandangan mereka mengenai isu Mesir dan Syria yang kini mempunyai pelbagai pandangan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak mengikut kata mata diri mereka sendiri.
Sekian, Terima kasih.
MINDA INSAN - Info Ditambah, Minda Bercambah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan