Dari hati ke hati, itulah tagline iLuvislam Radio yang telah mula ke udara secara rasminya sebagai radio atas talian (online) terbaru di Malaysia. Majlis pelancaran rasmi telah disempurnakan oleh Datuk Husamuddin Yaakob, iaitu Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf, bertempat di Karangkraf Mall, Dewan Tun Dr. Ismail PWTC, sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 hari ini.

Majlis pelancaran tersebut juga dihadiri oleh Pengasas dan Presiden iLuvislam.Com sendiri, iaitu Saudara Mohd Nurul Imran Koyube, al-Fadhil Ustaz Tuan Asmawi Tuan Umar, serta barisan-barisan penyampai-penyampai yang akan menemani pendengar di iLuvislam Radio.

Datuk Husamuddin dalam ucapannya berkata, “Saya kagum melihat kesungguhan tim iLuvislam.com dalam merealisasikan iLuvislam Radio. Walaupun mereka masih muda namun sudah pun mula menyampaikan ayat-ayat Cinta, atau istilahnya ‘romancing God’.
iLuvislam Radio pastinya menyajikan pelbagai segmen yang menarik dan bermanfaat, sejajar dengan arus globalisasi masa kini dan tentunya berlandaskan syariat Islam. Pemilihan al-Fadhil Ustaz Tuan Asmawi Tuan Umar sebagai Mentor iLuvislam Radio adalah sangat tepat berdasarkan pengalamannya selama 19 tahun di dalam industri, dan juga merupakan bekas juri Anugerah Seri Angkasa bagi kategori radio. Beliau adalah pengasas kepada program Imam Muda, dan kini dilantik sebagai Mursyid Imam Muda 2.

Antara segmen-segmen utama yang bakal menyerikan hari anda ialah segmen iLuvYOUth, iLuvPagi, iLuvInspirasi dan iLuvFamili. Untuk mendekati remaja dari hati ke hati, segmen iLuvYOUth didedikasikan khas buat para remaja agar mereka dapat berkongsi cerita, pengalaman, kisah cinta, atau pelbagai cerita mereka menerusi slot ’Cintan-Cintun’. Pelbagai tips dan panduan menarik dan berguna turut dikongsikan agar cinta yang disemai terarah kepada cinta Yang Satu.

Selain itu, untuk para remaja yang merasakan impian yang disemai selama ini sering di pandang remeh dan kononnya hanya angan-angan kosong oleh orang sekeliling anda, slot ‘Angan ke Impian’ pastinya dapat menjadi ‘sahabat’ setia anda untuk berkongsi rasa dan cerita.

Segmen iLuvPagi pula akan menyerikan dan menceriakan pagi anda dengan celoteh penyampai-penyampai yang ceria, ramah dan segar serta disulami dengan lagu-lagu yang bermesej dengan lirik-lirik yang indah. Di samping itu kami akan kongsikan maklumat yang terkini dan informative menerusi slot iLuvBerita.

Para pendengar juga berpeluang untuk berinteaksi dengan para penyampai iLuvislam radio menerusi status di Facebook iLuvislam.com dan juga melalui email DJ yang bertugas. Lebih dari itu, iLuvislam Radio juga turut menyelitkan tazkirah santai di dalam slot ‘Kauthar’ yang akan disampaikan oleh Zulhafidz Yahya dan Khairul Amir Yusof.

Segmen iLuvPagi ini bakal ke udara dari jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi, setiap Isnin hingga Jumaat dengan ditemani ole DJ Arfah Darwis, DJ Nur Izni, dan DJ Qaiyum. InsyaAllah dengan penampilan para penyampai iLuvislam Radio yang versetail yang dididik oleh Mentor Ustaz Tuan Asmawi Tuan Asmawi, pastinya akan menambat hati para pendengar.

Tambah menarik, majlis pelancaran iLuvislam Radio diserikan dengan persembahan istimewa daripada Kumpulan al-Mawlid, yang menyampaikan 3 buah lagu. Mereka adalah adalah gabungan penyanyi dari kumpulan VE, Ruffedge dan Innuendo, yang bersatu dengan imej yang sedikit berbeza.

Semoga dengan kelahiran iLuvislam Radio akan menceriakan lagi dunia penyiaran kita di Malaysia khasnya, dan di dunia sendiri amnya, insya-Allah.

Jadi dengarkanlah jika mahu kelainan dan alternatif dalam hiburan semasa. Apa yang baik dan menarik, kita kongsikan bersama rakan-rakan. Insya-Allah, semua mendapat manfaat daripada usaha kita.