HALAMAN UTAMA

2011/2012 Tahun Untuk Kelawar?

Assalamualaikum semua pembaca, hari ini saya ingin berkongsikan sesuatu. Pernah tak tengok kelawar? Jika tidak, saya akan terangkan mengenainya secara ringkas nanti. Kepada pencinta alam semulajadi, saya ingin bertanya kepada anda, tahukah anda bahawa tahun 2011/2012 ialah tahun kelawar? Nampak pelik bukan, tetapi itulah yang telah diisytiharkan oleh Konvensyen Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu Tentang Spesies Berhijrah (CMS) dan Perjanjian Kesepakatan Mengenai Pemulihan Populasi Kelawar Eropah (EUROBATS) serta Persatuan Zoo dan Akuarium Sedunia (WAZA).

Pihak ini telah menamakan tahun 2011 dan 2012 sebagai tahun kelawar. Sempena tahun kelawar ini pelbagai kempen telah dilaksanakan bagi memberi dan menyuntik kesedaran kepada masyarakat yang mungkin rata-ratanya tidak menyedari mengenai kepentingan spesies mamalia yang begitu unik ini.



Antaranya ialah kempen Sambutan Tahun Kelawar 2011/2012 yang dianjurkan oleh Zoo Negara selaku ahli WAZA dengan kerjasama Persatuan Animasi Malaysia (Animas). Kenyataan ini, saya telah petik daripada laman web IKIM.  Mungkin saudara pembaca kurang faham mengenai perkara ini. Saya akan terangkan serba sedikit mengenai kelawar.

Kelawar (Bat)

Kingdom :
Mamalia

Order :
Chiroptera

Suborder :
Kelawar makan buah (Megachiroptera)
Kelawar makan serangga (Microchiroptera)

Keterangan : Terdapat pelbagai jenis spesies dan famili kelawar.




Kepentingan kelawar dalam ekologi dan ekosistem alam semulajadi, antaranya ialah penyebar biji benih tumbuhan buah-buahan yang semulajadi dan penstabil kepada ekosistem alam sebagai pemakan serangga. Di dalam al-Quran Allah telah berfirman dalam surah Al-Qamar ayat 49 :-

[49] إِنَّا كُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ
 Yang bermaksud : Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir yang telah ditentukan.
Di dalam ayat ini sudah jelas, Allah menjadikan sesuatu itu yang mempunyai fungsi kepada alam ini. Maka, dengan itu, setiap kejadiannya akan memberi manfaat kepada yang lainnya. Apa yang kita perolehi daripada kajian menunjukkan ianya sebagai penyebar biji benih dan juga penstabil ekosistem alam. Bayangkan jikanya tiada dan telah musnah akibat perbuatan manusia. Besar kemungkinan pelbagai masalah yang akan timbul dan ini semua akan memberi kesan jug akepada kehidupan manusia.

Para pembaca sekalian, Malaysia mempunyai diversiti kelawar yang paling tinggi di dunia. Terdapat 1111 spesies yang dikenali di seluruh dunia. Di Malaysia, 118 spesies boleh dijumpai dan menyimpan 10% daripada spesies kelawar dunia. Malaysia bukan sahaja menjadi pusat diversiti kelawar, malah menjadi negara untuk pemuliharaan kelawar antarabangsa.
Untuk pengetahuan saudara, 40% mamalia di Malaysia adalah terdiri daripada kelawar termasuk separuh daripadanya adalah mamalia di hutan hujan. Ekologi dan pembiakkan kelawar yang diketahui amatlah sedikit dan apa yang kita diketahui juga terdapat banyak spesies kelawar yang kini diancam kepupusan. Lebih daripada satu perempat spesies kelawar di Malaysia telah didaftarkan di dalam rekod senarai merah ("red-listed") oleh International Union for the Conservation of Nature (IUCN). Ini bermakna 34 spesies berada di dalam paras kepupusan yang sangat tinggi di masa akan datang. Bahagian Penyelidikan Pemuliharaan Kelawar Malaysia (MBCRU) sedang berusaha untuk memastikan spesies ini dapat dipelihara sebelum ianya hilang pada masa akan datang.

Kelawar dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu kumpulan terbesar ialah pemakan buah dan kumpulan kecil ialah pemakan serangga. Kelawar buah seperti flying fox, biasanya mempunyai mata seakan-akan mata anak anjing, hidung yang mancung, beratnya boleh mencapai 1.5kg, biasanya akan bergantung pada pokok dan gua serta memakan nektar, polen, bunga dan pelbagai jenis buah.

Kelawar serangga pula biasanya lebih kecil dan beratnya hanya beberapa ratus gram sahaja dengan matanya seperti manik dan bahagian hidungnya bercantum dan berbentuk leper. Memakan pelbagai jenis serangga.

Di Malaysia tiada ditemui spesies kelawar yang menghisap darah. Juga tiada di negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Filipina. Ianya dapat dijumpai di Amerika Selatan kerana terdapat tiga spesies yang menghisap darah manusia. Pemburuan, penerokaan hutan dan kehilangan habitat telah menganggu populasi kelawar khususnya spesies flying fox. Kelawar bersaiz besar ini biasanya akan bergantung pada pokok-pokok yang besar yang kanopinya terdedah.

Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar telah melaporkan bahawa tinjaun satelit menjumpai 1,500 kelongsong peluru dalam tempoh dua minggu. Tekanan aktiviti pemburuan ke atas kelawar flying fox di Sarawak telah menyebabkan kerajaan bertindak menghalang perdagangan komersial daging hidupan liar dan mengehadkan kebenaran penggunaan peluru setiap orang per bulan.

Projek pembangunan telah memusnahkan hutan dan mengganggu habitat asal kelawar. Pada 1999, kajian mendapati 40% kawasan yang mempunyai populasi kelawar didapati telah musnah. Di kawasan Perlindungan Hidupan Liar Krau didapati terdapat banyak kelawar serangga per kilometer persegi daripada kawasan lain di dunia. 53 spesies kelawar telah direkodkan dalam tiga kilometer persegi zon hutan primer.

2 spesies kelawar serangga dijumpai dalam bahagian lain di kawasan perlindungan tersebut. Ditambah pula dengan 11 spesies kelawar buah yang telah dikenal pasti menjadikan kesemuanya 66 spesies. Berkemungkinan juga kawasan tersebut adalah lokasi yang paling produktif bagi kelawar.

Perbezaan cara kelawar terbang telah menjelaskan sebab wujudnya kepelbagaian bentuk dan jenis sayap. Maklumat lanjut bolehlah ke laman web yang berkaitan dengan kelawar. Antaranya :-

Sebahagian fakta ringkas kelawar :-
  • Sepasukan pengkaji dari Malaysia, Indonesia, United Kingdom dan United States telah mengkaji lebih daripada 7,000 ekor kelawar.
  • Purata hayat kelawar 7 - 8 tahun.
  • Paling lama direkodkan 38 tahun.
  • Melahirkan anak seekor setahun.
Oleh yang demikian, serba sedikit maklumat mengenai kelawar ini diharap dapat memberikan para pembaca sedikit kefahaman mengenai kelawar yang mana sempena Tahun Kelawar ini, maskot yang dipilih ialah animasi kartun Keluang Man untuk kempen Tahun Kelawar. Berikut keratan akhbar ketika pelancarannya di Zoo Negara Januari lalu.

Keratan Akhbar Metro 16 Januari 2011
Semoga kita semakin perihatin terhadap ekosistem serta ekologi alam semulajadi kita.

Sumber :

Sekian, Terima kasih.
MINDA INSAN - Info Ditambah, Minda Bercambah.

Tiada ulasan:

Nuffnang