HALAMAN UTAMA

Sample Air Kotak Dutch Lady Telah Diuji [Updated 23 Mei 2014]

Assalamualaikum, sebentar tadi pukul 7:11 malam pada 23 Mei 2014 pihak Dutch Lady telah memberikan responnya yang terkini berkaitan dengan aduan produk air kotaknya yang didakwa mengandungi bendasing yang boleh ditafsirkan dengan pelbagai benda dan ada yang mendakwa ianya bangkai anak tikus. 

Dakwaan tersebut membuatkan saya juga mahu mendapatkan kepastian pihak Dutch Lady dengan keluhan dan aduan yang dikongsikan pengadu di laman sosial Facebook untuk memastikan kesahihan perkara dan gambar tersebut kerana saya juga pengguna yang sering membeli produk Ducth Lady.

Pihak Ducth Lady memberikan respon selepas ujian makmal dibuat dan saya kongsikan di sini untuk pengetahuan umum masyarakat Malaysia yang sering mahu mendapatkan jawapan dan penjelasan berkaitan dengan hal kepenggunaan ini.


Selepas saya bertanyakan akan perkara ini, respon pertama yang diperolehi pihak Ducth Lady masih belum mendapat sampel tersebut daripada pengadunya. Pihak Dutch Lady telah memberikan respon yang dipetik seperti di bawah:-

  • Conversation started 10hb Mei
  • Farid Aspar
    Farid Aspar
    Salam, Saya juga berfikir-fikir untuk tidak membeli jika tiada respon dan maklum balas pihak Dutch Lady Malaysia. Boleh respon tak untuk perkara ini? https://www.facebook.com/photo.php?fbid=774120775939657&set=pcb.774120899272978&type=1&theater (LINK sudah tiada, pengadu sudah padamkan gambar), Jika tiada respon dan tindakan, jangan tanya kenapa saya tak beli lagi susu DL. Terima kasih.
  • 10hb Mei
  • Dutch Lady Malaysia
    Hai Farid. Seperti yang telah dijawab oleh pihak kami di Facebook Wall anda, sampel pengadu tersebut masih tidak dapat diperolehi. Apa yang anda lihat di dalam kotak susu tersebut kelihatan sama seperti mineral yang telah menjadi pepejal. Ini tidak berbahaya dan terhasil akibat dari kotak susu rosak atau penyimpanan yang tidak betul. Kejadian ini jarang berlaku tetapi tidak mustahil kerana seperti yang kita tahu, susu atau produk tenusu mudah rosak. Selepas dibuka ia sepatutnya dihabiskan antara 2 - 3 hari dan disimpan di tempat sejuk dan kering. Walaupun sampel pengadu belum diperolehi, kami telah memulakan sisatan dalaman. Keputusan makmal awal berdasarkan sampel dari ‘batch’ sama yang dibeli oleh pengadu, telah menunjukkan bahawa sampel dari ‘batch’ ini tidak rosak dan selamat untuk diminum. Untuk keterangan lanjut, sila PM kami atau e-mel kami di dutchladycareline@frieslandcampina.com. Kami menghargai sokongan anda dan berharap anda terus membeli produk kami dengan keyakinan.

Selepas beberapa minggu, pihak Dutch Lady memberikan maklum balas terkini selepas mendapatkan sampel daripada pengadu. Dan berikut adalah respon pihak Dutch Lady berkaitan dengan sampel tersebut yang sudah dibuat ujian makmal.

Berikut antara yang dihantar kepada saya berkaitan:-
  • Hari Ini (23 Mei 2014)
  • Dutch Lady Malaysia
    Dutch Lady Malaysia
    Hai Farid,

    Kami telah menerima sampel produk daripada Puan Nazlinda dan menerusi kajian makmal, kami mendapati sampel susu UHT berperisa coklat itu telah kering akibat penyimpanan dalam peti sejuk buat tempoh yang lama. Kejadian ini merupakan satu proses semulajadi yang tidak diingini akibat kaedah penyimpanan yang tidak sempurna. Bahan asing tidak dapat memasuki ke dalam pek produk yang belum dibuka berikutan kaedah pemprosesan yang ketat dan terkawal.

    Pihak Dutch Lady Malaysia telah berjumpa dengan Puan Nazlinda dan telah pun menjelaskan tentang hasil keputusan kajian makmal yang dijalankan. Puan Nazlinda bersetuju dan menerima penjelasan yang diberikan.

    Untuk pengetahuan umum, jika tidak disimpan dan dikendalikan dengan cara yang betul selepas dibuka, susu akan mengalami proses semulajadi yang tidak diingini sepertimana keterangan di atas. Dalam kes ini, kerosakan tersebut adalah akibat degradasi karbohidrat, protein dan lemak dalam susu.
    Oleh itu, Dutch Lady ingin menekankan kaedah penyimpanan dan pengendalian produk seperti yang disyorkan pada label pek – goncang sebelum digunakan. Setelah dibuka, simpan di dalam peti sejuk dan gunakan dalam tempoh 3 hari. Kaedah ini amat penting untuk dipatuhi bagi memastikan kesegaran produk.
    Kesihatan dan keselamatan pengguna adalah keutamaan kami di Dutch Lady Malaysia. Kami akan terus komited untuk menyediakan produk berkualiti yang selamat dan sihat kepada pengguna.
    Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila hubungi Care Line Dutch Lady di 1-800-88-1191 untuk maklumat lanjut, talian ini beroperasi dari Isnin hingga Jumaat, 8:30pagi - 4:30petang, atau e-mel : dutchladycareline@frieslandcampina.com. Sebarang mesej yang diterima pada hujung minggu dan cuti umum akan diberikan perhatian dengan segera pada hari bekerja berikutnya.
  • Farid Aspar
    Farid Aspar
    Baik, Terima kasih atas penjelasan. Saya akan kongsikan respon ini dalam blog saya untuk makluman umum.

Semoga kita bersama-sama mencari dan mendapatkan penjelasan daripada pihak yang berkaitan agar tidak berlaku sebarang spekulasi yang tidak benar. InshaAllah.

Sekian, Terima kasih.
MINDA INSAN - Info Ditambah, Minda Bercambah.

Tiada ulasan:

Nuffnang