Assalamualaikum, perjalanan ke tempat kerja sememangnya suatu perkara yang perlu dilalui setiap orang yang berkerjaya terutamanya di sekitar pusat bandar. Seperti biasa saya berada di atas jalan raya untuk ke destinasi yang dituju. Setiap kali di jalan raya, saya sentiasa beringat akan keselamatan diri. Tetapi bagaimanakah dengan keadaan sekeliling kita? Hari ini, saya ingin kongsikan mengenai sikap pemandu pengangkutan awam di Kuala Lumpur apabila melihat sebuah bas METROBUS berdekatan tempat tinggal saya.
Setiap kali melihat bas METROBUS ini, setiap kali itulah akan menjangkakan sesuatu yang akan berlaku. Dan sahlah, apa yang dijangkakan sememangnya betul. Pemandu METROBUS itu melanggar lampu merah walaupun pada ketika itu adalah giliran laluan untuk kenderaan daripada arah yang lain. Bukan pertama kali aku melihatnya, tetapi terlalu kerap saya melihat gelagat dan sikap pemandu bas METROBUS ini.
Pada pandangan dan pemerhatian saya, berbeza dengan pemandu bas syarikat lain. Pemandu METROBUS ini sering kali melakukan 'aksi' yang boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Di kawasan pusat bandaraya, bukanlah suatu kawasan yang lengang. Tetapi ramai perjalan kaki di setiap sudut yang ada kalanya mahu melintas jalan.
Persoalannya di sini, adakah keselamatan pengguna jalan raya lain dipandang remeh? Apakah pemandu bas boleh bersikap sebegitu rupa? Saya di sini ingin meyeru semua pemandu bas agar dapat mempunyai kesantunan di jalan raya. Hanya segelintir kecil pemandu bas di atas jalan raya yang kadang-kala membawa kepada nama buruk pemandu-pemandu bas yang lain kerana mereka ini seolah-olah tidak terikat dengan peraturan jalan raya.
Bas ialah pengangkutan awan yang sepatutnya perlu lebih menunjukkan kualti pemanduan yang baik dan ini juga mempengaruhi kepada keyakinan pengguna untuk menggunakan perkhidmatan awam. Berjayakah kita untuk melihat peningkatan jumlah pengguna pengangkutan awan dengan sikap pemandu itu sendiri yang tidak berubah? Bayangkan jika beginilah sikap pemandu bas, bagaimana sistem pengangkutan awam negara kita yang cekap dan sistematik dapat dicapai? Jika berlaku sebarang insiden yang tidak diingini yang melibatkan nyawa, kepada siapa kita ingin persalahkan.
Perkhidmatan yang baik bukan bererti pengguna boleh tiba ke destinasi dengan cepat tanpa menitik beratkan soal keselamatan orang lain, tetapi dapat tiba ke destinasi dengan selamat. Diharapkan, pemandu-pemandu bas di mana-mana anda memberikan perkhidmatan, awasilah sikap anda.
Saya sehingga hari ini sememangnya tidak pelik apabila melihat bas METROBUS jika ada sesuatu berlaku. Di dalam minda saya, sudah cukup menyaksikan pelbagai sikap pemandu bas METROBUS yang tidak sopan dijalan raya. Sehinggakan, jika tanya, bas apakah yang paling bahaya dan teruk pemanduannya, saya akan menjawab METROBUS. Saya tidak pasti sama ada dimanakah mereka ini dilatih sehingga begitu rupa sikap pemanduannya. Agak berbeza dengan pemandu bas yang lain. Saya juga tidak menafikan layanan mereka mungkin cukup baik dan pantas dengan penumpang. Mungkin anda mempunyai pengalaman sendiri? atau pandangan anda? Berkongsilah jika merasakan ianya perlu.
Tetapi, setakat yang sering saya lihat, beginilah keadaannya. Sebagai manusia, kita akan sentiasa mengukuhkan lagi pengetahuan dan pemahaman mengenai sesuatu perkara dengan pengalaman kita setiap masa. Jadi, jika saya selalu melihat perkara ini, maka itulah realitinya. Jadi, berubahlah demi menukarkan paradigma masyarakat terhadap METROBUS yang mungkin tercalar dek kerana segelintir pemandunya.
Sekian, terima kasih.
MINDA INSAN - Info Ditambah, Minda Bercambah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan