Salam, saya ingin memetik daripada majalah Ringgit keluaran bersama Gabungan Persatuan-persatuan pengguna Malaysia dan Bank Negara Malaysia. Bank Negara Malaysia ingin mengingatkan orang ramai agar hanya melabur dengan pihak yang dilesenkan oleh pihak berkuasa.
Anda dinasihatkan agar lebih berhati-hati serta meneliti kesan-kesan buruk sebelum menyertai mana-mana skim yang menjanjikan pulangan yang tinggi dalam jangka masa yang singkat.
Ramai pelabur yang telah tertipu dan menjadi mangsa akibat keliru dengan tawaran-tawaran lumayan yang dijanjikan oleh penganjur kerana ingin menjadi “Cepat Kaya”.
Sejak kebelakangan ini, jenis skim cepat kaya yang kerap dilaporkan ialah Skim Pelaburan Emas. Pada kebiasaannya, pengendali menjalankan skim pelaburan emas dengan menggunakan syarikat perniagaan atau syarikat sendirian berhad (syarikat).
Syarikat memberikan jaminan pembelian balik (buy back guarantee) atas setiap skim pelaburan emas yang dijalankan. Jaminan pembelian balik tersebut mengakibatkan skim pelaburan emas yang dijalankan mempunyai elemen-elemen pengambilan deposit haram yang melanggar peruntukan dalam Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 (BAFIA).
Modus Operandi yang sering digunakan ialah:
- Pelabur diminta mengisi borang pelaburan dan menandatangani perjanjian dengan pengendali skim;
- Pelabur akan membayar harga produk emas tersebut sama ada dengan cek atau secara tunai;
- Pelabur diberikan pilihan untuk mengambil produk emas tersebut daripada pengendali skim (bersama sijil pelaburan emas) pada bila-bila masa seperti yang ditetapkan oleh pengendali skim atau membenarkan pengendali skim menyimpan produk emas tersebut;
- Pelabur akan menerima pulangan dalam bentuk dividen atau hibah setiap bulan sepanjang tempoh pelaburan mengikut peratusan yang ditetapkan; dan
- Pengendali skim menjamin pembelian balik emas, iaitu pelabur berhak menjual balik produk emas tersebut kepada pengendali skim pada akhir tempoh perjanjian, pada harga belian asal.
Sumber: Majalah Ringgit Bulan Jun 2012, Bank Negara Malaysia
Semoga anda dapat membezakan di antara pelaburan dan penyimpanan emas. Dan berhati-hati jika anda dijanjikan dengan pulangan yang tetap dan mendapati ianya meragukan anda. Elak melabur di tempat yang meragukan.
Sekian, Terima kasih.
MINDA INSAN - Info Ditambah, Minda Bercambah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan