HALAMAN UTAMA

Laporan Polis Sudah Mansuh pada 2011?

Assalamualaikum, hari ini saya mendapat info mengenai adakah kita perlu membuat laporan polis jika kehilangan barangan tertentu? Mengikut pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia September 2011, Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2011, Pemasuhan Keperluan Mengemukakan Laporan Polis Yang Tidak Merupakan Suatu Kehendak Undang-undang Dalam Berurusan Dengan Agensi Kerajaan. Ianya tertakluk kepada 6 perkara yang disebutkan di bawah.

Tetapi, mengapa laporan polis ini dimasuhkan? Mengikut pekeliling tersebut, pada tahun 2010, sejumlah 2.8 juta laporan polis telah diterima dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 1.1 juta atau 40% adalah termasuk dalam kategori 'Rujuk Lain-Lain Agensi' (RLA). Yang mana menunjukkan sebahagian besar laporan yang dibuat tidak memerlukan tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perkara ini bukan sahaja menyusahkan orang awam, malah melambangkan imej perkhidmatan awam yang cekap dan mesra pelanggan. Di pihak PDRM pula, amalan ini turut menyebabkan beban kerja dalam menguruskan urusan pelaporan polis dan juga menambah kos operasi PDRM di samping tidak memberi nilai tambah dalam perkhidmatan PDRM.


Oleh yang demikian, Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pengaduan Awam (JKTPA) Bilangan 2/2011 pada 6 April 2011 telah bersetuju bahawa amalan ini tidak perlu diteruskan.

Namun, menurut pekeliling itu juga, orang awam tidak dihalang jika mahu membuat laporan polis, tetapi di dalam urusan rasmi berikut, laporan polis tidak lagi diperlukan. Antaranya :-

1. Penggantian kehilangan dan kerosakan sijil kelahiran oleh Jabatan Pendaftaran Negara;

2. Penggantian kehilangan dan kerosakan sijil pasport Malaysia oleh Jabatan Imigresen Malaysia;

3. Penggantian kehilangan dan kerosakan sijil perkahwinan oleh Jabatan pendaftaran Negara ataupun surat nikah oleh Jabatan Agama;

4. Penggantian kehilangan dan kerosakan sijil-sijil akademik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia;

5. Penggantian kehilangan dan kerosakan perakuan pendaftaran kenderaan dan lesen memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan; dan

6. Penggantian kehilangan dan kerosakan geran tanah oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galia, Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar.




Oleh yang demikian, pada pandangan peribadi saya, PDRM kini sememangnya dalam usahanya yang berterusan untuk menjadikan badan perkhidmatan awam tersebut lebih efisyen lagi di dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dengan mengurangkan perkara yang bukan di dalam bidang kuasa mereka.

Jadi, kepada para pembaca sekalian, sebarkanlah agar kita lebih mudah untuk membuat urusan rasmi kita dengan badan-badan kerajaan dan jabatan-jabatan yang berkaitan. Insya-Allah, kita juga sedang menuju ke arah yang lebih proaktif dan produktif untuk negara.  
Sekian, Terima kasih.

MINDA INSAN - Info Ditambah, Minda Bercambah.

Tiada ulasan:

Nuffnang