HALAMAN UTAMA

Sokong alam sekitar? Jom ke EcoHome Show 2011

Assalamualaikum semua, sejak semalam pada 18 Mac 2011 telah berlangsungnya Eco Home Show 2011 di Sunway Pyramid Convention Centre sehingga esok 20 Mac 2011. Pameran ini bermula dari pukul 11.00 pagi sehinggalah pukul 9.00 malam. Pameran ini dianjurkan oleh AHA Marketing Sdn Bhd and GEC. Jadi untuk sesiapa yang ingin menambah pengetahuan dan merasakan ingin melakukan sesuatu untuk alam sekitar kita, bolehlah berkunjung ke Sunway Piramid dan melihat sendiri pameran yang dibuat oleh badan-badan yang menyumbangkan kepakaran dan perkhidmatan untuk menjaga alam sekitar kita.

Mungkin kita merasakan ianya tidak begitu popular atau pun kurang penting untuk diri sendiri, namun jika kita nilaikan semula, sumbangan yang sedikit untuk kita lebih prihatin kepada alam sekitarlah yang akan menjadikan masyarakat akan datang turut sama prihatin. Jika kita tidak mulakan, siapakah yang akan mulakan? Pendekatan dan pendedahan mengenai keprihatinan kita kepada alam sekitar perlu diberikan ruang agar kita bersama dapat merasakan kesannya kepada masyarakat.


Banyak yang boleh dilakukan dan dibudayakan di dalam masyarakat kita. Sebagai contoh kitar semula, penggunaan bahan yang boleh dikitar semula atau mesra alam, pengurangan penggunaan tenaga elektrik dan air dan juga sikap kita terhadapat hidupan lain perlulah dipraktikkan. Untuk mencapai negara maju, semua ini perlulah dipraktikkan di dalam masyarakat. Jika tidak, apa guna teknologi tanpa kita berinteraksi dengan baik terhadap alam sekitar itu sendiri.

Jadi, saya ingin menyampaikan bahawa pameran ECO Home and Living Product ini bertujuan untuk :-
  • Membantu mengurangkan penggunaan tenaga elektrik dan juga penggunaan air.
  • Tidak menghasilkan sisa atau bahaya bahan yang boleh memberikan kesan yang buruk kepada alam sekitar.
  •  Pemprosesan kilang menggunakan kaedah mesra alam bagi menjamin kelangsungan alam.
  • Menghasilkan barangan menggunakan bahan kitar semula dan boleh digunakan semula dan dikitar semula.
  • Pameran mini-mock up "ECO-Home"
Itu adalah antara objektif pameran ini dijalankan. Namun, ini adalah sebahagian usaha untuk mendekati masyakat agar lebih mempunyai sensitiviti kepada alam sekitar. Banyak lagi yang akan dijalankan di masa-masa yang akan datang. Dan semua ini memerlukan sokongan daripada kita semua bagi menjadikan Bumi yang semakin terancam dengan aktiviti manusia itu sendiri dapat bertahan lebih lama kelangsungan hidupan dan ekologi yang ada pada masa kini.

Jika mahu dikatakan apakah faedah dan kelebihan yang kita boleh perlolehi adalah cukup berbaloi walaupun nampak seperti sangat kecil sumbangannya. Kita mampu :-
  • Mengurangkan penggunaan tenaga yang boleh membantu menjaga pencemaran bumi kita.
  • Mengurangkan kos pemprosesan bahan-bahan mentah kerana menggunakan bahan yang dikitar semula.
  • Membantu mengurangkan sampah yang dilupuskan di tapak-tapak pelupusan sampah yang kian berkurangan jumlahnya.
  • Membantu menjaga alam sekitar daripada pencemaran bahan kimia yang terbebas daripada penggunaan barang tersebut seperti polisterina yang boleh menghasilkan gas CFC yang mampu menyebabkan penipisan lapisan ozon Bumi.



    Bukan itu sahaja sebenarnya, banyak lagi yang boleh diperolehi manfaatnya walaupun sekecil tindakan kita. Kerana, jangan nanti, apabila berlaku bencana yang tidak diduga, kita mempersalahkan orang lain kerana tidak prihtin terhadap alam sekitar. Padahal, kita sendiri tidak peka dan tidak mengambil bahagian. Ini tidak bermakna juga, ianya adalah tanggungjawab sesetengah pihak sahaja, tetapi ianya adalah tanggungjawab semua. Oleh itu, carilah tempat yang boleh menambahkan kesedaran kita mengenai pentingnya kita prihatin dengan apa yang kita lakukan demi kemasalahatan ummah manusia hari ini dan masa depan. Insya-Allah.

    Sekian, Terima kasih.

    MINDA INSAN - Info Ditambah, Minda Bercambah.

    Tiada ulasan:

    Nuffnang