HALAMAN UTAMA

Wang? Sampah? Kitar Semula?

Sudah lama saya terfikir akan perkara ini, wang? sampah? kitar semula? Apakah yang para pembaca fikirkan jika ditanya mengenai sampah. Mungkin ada yang mengatakan bahawa sampah itu adalah sesuatu yang kotor, jijik dan boleh mengganggu kehidupan kita seharian. Walaubagaimanapun, sedarkah kita bahawa tindakan membuang sampah dengan tidak sistematik adalah punca utama masalah pelupusan sampah yang semakin kritikal kini. Apakah kita tiada jalan untuk mengatasi masalah ini? Pada pandangan saya, ini bukanlah sesuatu yang sukar bagi sesebuah masyarakat untuk bertindak apabila terdapatnya kesedaran mengenai kepentingannya.

Sampah itu wang, sampah itu alam sekitar, adakah kita sedar akan kenyataan ini?
Namun, disinilah pertimbangannya. Sampah itu akan jadi apa yang kita fikirkan. Bagaimana? Kita sebagai ahli masyarakat perlu sedar akan hakikat ini. Para pembaca yang budiman, kitar semula adalah jawapannya. Mengapa? anda perlu faham bahawa apa yang kita buang adalah sesuatu yang sudah tidak berguna lagi bagi kita. Tetapi ingat, ini bukan bermaksud ia tidak boleh diguna pakai lagi. Betul ke? para pembaca sekalian, kita di Malaysia menghasilkan sampah 30 000 tan sampah sehari yang mana sampah yang kita buang mempunyai pelbagai kategori. Untuk pengetahuan, hanya 5% sampah yang dikitar semula dan 95% dilupus begitu sahaja. 


Oleh yang demikian, banyak perkara yang perlu dinilai, walaubagaimanapun secara ringkas dan mudah difahami, ada beberapa kategori utama sampah seperti kertas, plastik, tin, kaca dan sebagainya. Jika diamati jenis-jenis ini adalah sesuatu yang biasa kita lihat terutamanya kertas dan plastik. Kita tidak boleh lari dari menggunakan bahan-bahan ini. Hal ini kerana ia sudah menjadi sesuatu keperluan dalam kehidupan kita.

Oleh yang demikian, beberapa pengalaman saya bolehlah dijadikan panduan para pembaca untuk berfikir dan menilai. Pada saya, kesedaran ini sudah bermula sejak dari sekolah rendah lagi, yang mana saya mula untuk mengitar semula bahan-bahan utama ini seperti surat khabar, botol-botol kaca dan tin aluminium. Ini kerana pada ketika itu, dilihat dari konteks untuk mendapatkan wang. Walaubagaimanapun, tidaklah memikirkan kepentingan kitar semula dari sudut saintifik. Namun, ia berterusanlah sehingga ke sekolah menengah yang mana kebetulan di SMK Segambut Jaya juga telah memulakan kempen untuk mengitar semula bahan-bahan utama yangboelh dikitar semula seperti tin, kertas, botol-botol kaca dan plastik. Kempen ini bertujuan untuk mengumpul dana bagi membina pentas. Namun bukan mudah untuk dilaksanakn dan tidak mustahil untuk berjaya dalam kempen ini. Saya yang tinggal berhampiran sekolah merasakan adalah amat mudah untuk menyumbangkan bahan-bahan yang boleh dikitar semula memandangkan ia adalah sesuatu yang amat mudah untuk dilaksanakan di rumah, kerana hanya perlu mengasingkan ia mengikut jenis.


Walaubagaimanapun, kempen ini sepatutnya tidak berakhir walaupun selepas mencapai matlamat yang disasarkan. hal ini kerana ia adalah usaha yang berterusan yang sepatutnya dipupuk kepada generasi sekarang bukan sekadar untuk mencapai matlamat sahaja. Namun ia perlu diteruskan disamping dapat dijanakan ke dalam tabung pembangunan sekolah. Walaupun ianya tidak memberikan keuntungan yang lumayan, tetapi bukan itu yang kita kejarkan, apa yang perlu adalah untuk mendidik paradigma masyarakat mengenai keperluan kitar semula agar menjadi budaya masyarakat negara kita yang masih menuju ke arah mencapai negara maju.

Namun, saya amat tidak menyokong jika ia hanya dilakukan seperti melepaskan batuk di tangga sahaja dan hangat-hangat tahi ayam. Bukan kerana usaha itu tidak bagus, tetapi perlulah dilaksanakan dengan penuh bertanggungjawab bagi menerapkan budaya ini dijiwa masyarakat. Bukanlah tong-tong kitar semula yang disediakan diisikan dengan pelbagai sampah yang tidak diasingkan mengikut jenis. Ini adalah sesuatu yang gejala yang timbul dan boleh membantutkan usaha ini. Mengapa usaha ini disambut dingin oleh masyarakat?

Saya juga ingin menyarankan agar semua sekolah wajib untuk mempunyai tong-tong kitar semula dan memanfaatkannya seratus peratus tanpa mengabaikan fungsi-fungsi tong tersebut. Pada saya yang pernah bersekolah di SBPI Selandar Melaka boleh melihat sendiri perkara ini yang mana sekolah perlulah memanfaatkan sampah yang dihasilkan oleh para pelajar. Hal ini kerana, khususnya pada akhir tahun ataupun cuti-cuti umum, para pelajar boleh menyumbangkan barang-barang yang boleh dikitar semula kepada sekolah disamping dapat mengumpul dana yang boleh digunakan untuk pembangunan pelajar sendiri atau sekolah.

Selepas tamat persekolahan, terutamanya pada setiap akhir tahun, sudah pasti banyak buku-buku dan kertas-kertas dibuang oleh pelajar. Pada pengalaman saya, apakah berbaloi untuk saya mengumpul dan mengutip semua kertas-kertas dan buku-buku yang terbuang untuk dibawa pulang bersama ke Kuala Lumpur. namun, itulah yang saya lakukan kerana tidak mahu berlaku pembaziran yang kita tidak nampak ianya berlaku jelas dipandangan mata. Pada saya, kebanyakan orang berpendirian bahawa ianya tidak berbaloi sama sekali untuk berbuat demikian kerana tidak memberikan apa-apa keuntungan dan hanya meletihkan.


Pandangan ini biasa didengari daripada mereka yang belum sedar akan kepentingan kita untuk memelihara alam sekitar secara tidak langsung dalam mengitar semula bahan-bahan tersebut. Ini kerana pendidikan dalam pembudayaan kitar semula hanya dilaung-laungkan kempennya di media massa dan merata tempat. Namun tempat yang sepatutnya pendidikan ini berlaku tidak bertindak dengan serius dan menganggap ia perkara yang tidak ada kena mengena dengan aspek akademik pelajar. Amat malanglah generasi negara Malaysia akan datang kerana mempunyai keturunan yang tidak mahu mengambil kesah akan kesan budaya kitar semula yang tidak dipupuk sejak awal lagi kepada mereka.

Mengapakah ini berlaku? Sukarkah untuk dilaksanakan?
Fikir-fikirkanlah. Antara wang? sampah? Kitar semula? Pilihlah yang mana untuk dijadikann landasan dalam membina budaya masyarakat negara maju. Alam sekitar adalah perkara paling pokok untuk dibicarakan dan memerlukan usaha yang berterusan tanpa ada tolak ansur untuk memelihara khazanah alam yang seimbang daripada sebarang kemusnahan dan kerosakan seterusnya kepupusan. Terpulanglah kepada kita untuk menilai.


Apa yang dapat saya dirumuskan :-

1. Sampah adalah apa yang kita fikirkan.
2. Sampah adalah wang jika tahu untuk mengitar semula.
3. Sampah yang diuruskan dengan baik dapat mengurangkan longgokan sampah.
4. Jangan jadikan alam kita sebagai sampah semata-mata.
5. Semua sekolah perlu diwajibkan untuk melaksanakan kempen kitar semula secara
berterusan dan bertanggungjawab.
6. Budaya kitar semula perlu dipupuk untuk menjadi sebuah negara maju.



Antara Info menarik mengenai kitar semula :-

1. 1 tan KACA yang dikitar semula menjimatkan 9 Gallon bahan bakar.

2. Setiap BOTOL KACA yang dikitar semula menjimatkan tenaga yang cukup untuk
menghidupkan sebiji mentol berkuasa 100watt untuk 4 JAM.

3. 1 tan kertas yang dikitar semula menjimatkan:-
> 17 batang POKOK
> 6953 GALLON AIR
> 463 GALLON PETROLEUM
> 587 PAUN pencemaran UDARA
> 3.06 unit padu TAPAK PERLUPUSAN
> 4 077 Kilowatt tenaga SEJAM

4. Keluli yang dikitar semula dapat :-
> Menjimatkan 4 KALI tenaga yang digunakan.
> Mengurangkan pencemaran dan sisa gailan sebanyak 70%.
> Menjimatkan tenaga untuk hampir 18 JUTA pemilik rumah setahun dalam
pengitaran semula oleh industri keluli.

Untuk keterangan dan infomasi bagi lokasi dan syarikat yang boleh menguruskan mengenai kitar semula boleh rujuk di laman :-

http://web.kpkt.gov.my/recycle/

Sekian, Info ditambah, Minda Bercambah.

Tiada ulasan:

Nuffnang