Assalamualaikum, masyarakat kini kian mencari-cari apakah pelaburan yang boleh membawa keuntungan dalam jangka masa yang singkat sehinggakan tidak menyangka tindakan tersebut kadang-kala menyebabkan kerugian yang sangat besar kepada ekonomi kewangan diri sendiri dan keluarga. Dan yang terkini, adalah skim pelaburan emas yang kian popular dan sehinggakan wujudnya skim-skim yang tidak diluluskan oleh bank negara. Oleh yang demikian, pihak Bank Negara Malaysia (BNM) bersama beberapa agensi telah pun membuat serbuan bagi membanteras aktiviti haram ini. Maka beberapa persoalan yang dijawab berikut untuk panduan masyarakat Malaysia.
Oleh itu, susulan dengan banyak pertanyaan yang diterima oleh agensi-agensi
penguat kuasa berhubung dengan tindakan yang diambil baru-baru ini
terhadap syarikat-syarikat yang disyaki menjalankan skim kewangan haram
menggunakan emas, berikut adalah soalan lazim berserta jawapan untuk
rujukan orang ramai, khususnya pihak-pihak yang terbabit.
S1: Mengapakah pihak berkuasa membuat serbuan ke atas syarikat-syarikat tersebut?
J: Serbuan dibuat bagi melindungi kepentingan para pelabur daripada
melaburkan lebih banyak wang dalam skim yang berisiko, dan juga untuk
melindungi kepentingan orang ramai. Syarikat yang terbabit sedang dalam
siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan, termasuk mengambil deposit
secara haram, mengubah wang haram, mengelakkan cukai, memberikan
maklumat palsu termasuk pernyataan yang salah, melantik ejen tanpa lesen
dan gagal mengemukakan dokumen berkanun.
S2: Mengapakah timbul kebimbangan terhadap model perniagaan syarikat-syarikat tersebut?
J: Kebimbangan ini timbul kerana syarikat-syarikat tersebut
dipercayai menjalankan skim yang tidak dapat bertahan lama.
Syarikat-syarikat tersebut menjanjikan pelabur pulangan bulanan yang
lumayan dan jaminan belian balik emas. Skim tersebut bukan dibiayai oleh
jual beli emas yang sebenar, sebaliknya dibiayai dengan menggunakan
wang yang baru dilaburkan dalam skim ini. Jumlah aset dan wang yang ada
pada syarikat-syarikat ini biasanya tidak sepadan dengan jumlah yang
dikumpulkan daripada para pelabur.
S3: Mengapakah pihak berkuasa hanya mengambil tindakan sekarang?
J: Sebarang tindakan penguatkuasaan hanya boleh diambil setelah
didapati terdapat sebab-sebab yang boleh dipercayai bahawa sesuatu
kesalahan telah dibuat. Ini bagi mengelakkan sebarang tindakan
penguatkuasaan yang terburu-buru atau melulu yang mungkin boleh
menjejaskan perniagaan yang sah.
S4: Apakah status tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa?
J: Siasatan masih lagi berjalan. Orang ramai akan dimaklumkan oleh
pihak berkuasa mengenai status terkini siasatan dari semasa ke semasa.
Orang ramai dinasihati supaya merujuk kepada kenyataan rasmi yang
dikeluarkan oleh agensi penguat kuasa undang-undang sahaja untuk
sebarang maklumat terkini kes-kes ini.
S5: Berapa lamakah tempoh siasatan?
J: Tempoh siasatan akan bergantung pada tahap kompleksiti dan
keseriusan kes. Tahap kompleksiti telah meningkat disebabkan oleh
dimensi antarabangsa kes-kes tersebut. Kerjasama daripada pihak yang
terbabit akan membantu proses siasatan. Siasatan ini diberi keutamaan
yang tinggi dan semua sumber yang perlu telah digembleng oleh agensi
penguat kuasa yang berkenaan untuk mempercepat siasatan.
S6: Mengapakah aset dibekukan dan dirampas?
J: Berhubung dengan kes skim kewangan haram yang disyaki, pihak
berkuasa boleh menjalankan operasi mencari dan merampas bagi mendapatkan
bukti dan untuk mengelakkan syarikat daripada menyembunyikan atau
memusnahkan bahan bukti. Ini juga menghalang aset daripada lesap kerana
ia akan memberikan kesan buruk kepada pelabur. Di bawah seksyen 44 Akta
Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Pencegahan Pembiayaan
Keganasan 2001 (AMLATFA), agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang
diberikan kuasa untuk membekukan apa-apa aset apabila disyaki bahawa
suatu kesalahan pengubahan wang haram telah dilakukan.
S7: Apakah yang akan terjadi kepada aset dan emas yang dirampas?
J: Aset yangdirampas semasa serbuan dibuat akan didokumenkan dengan
teliti dan diambil kira serta disimpan di tempat yang selamat.
Sekiranya terdapat prosiding jenayah, aset tersebut hanya boleh
diuruskan atas perintah Mahkamah.
S8: Bolehkah pelabur yang terbabit menuntut kembali wang atau emas mereka daripada aset yang dirampas?
J: Aset yang dirampas semasa siasatan dijalankan hanya boleh
diuruskan atas perintah Mahkamah. Pelabur mungkin boleh memfailkan
kepada Mahkamah tuntutan pihak ketiga bagi pemulangan wang atau emas
mereka. Maklumat tentang sama ada dan bagaimana untuk memfailkan sesuatu
tuntutan akan diberitahu apabila prosiding mahkamah selesai.
S9: Apakah nasihat kepada orang ramai yang ingin melabur?
J:Orang ramai dinasihati supaya sentiasa berhati-hati terhadap skim
pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang kelihatan
rendah, dengan memberikan jaminan bahawa jumlah pokok yang dilaburkan
akan dipulangkan. Orang ramai juga dinasihati supaya merujuk kepada
agensi yang berkenaan apabila berurusan dengan syarikat atau individu
yang menawarkan peluang perniagaan atau perkhidmatan kewangan yang
kelihatan menarik tetapi tidak diberikan lesen oleh pihak
berkuasa. Sebagai panduan, orang ramai digalakkan mengambil perhatian
perkara berikut apabila menilai sesuatu skim pelaburan:
- Ingatlah – sekiranya skim tersebut adalah indah khabar dari rupa, berkemungkinan besar skim tersebut adalah skim palsu;
- Berwaspada dengan skim Ponzi. Ia merupakan skim pelaburan yang berunsur penipuan apabila pengendalinya mengambil wang daripada pelabur baharu untuk membayar kepada pelabur awal atau sedia ada. Akhirnya, akan sampai satu peringkat apabila jumlah pelabur baharu tidak mencukupi untuk menyokong skim ini dan seterusnya keseluruhan skim mengalami kegagalan;
- Berurusan hanya dengan institusi kewangan berlesen dan peniaga yang sah;
- Rujuk kepada pihak berkuasa yang berkenaan sebelum melabur/mendeposit wang;
- Jangan terpengaruh atau terburu-buru untuk melabur;
- Hendaklah lebih berhati-hati dengan pelaburan melalui Internet;
- Berwaspada dengan apa-apa peluang pelaburan yang tidak bertulis;
- Jika pelaburan telah dibuat, simpan salinan semua dokumen pelaburan; dan
- Rujuk laman sesawang amaran penipuan kewangan berikut:
Sekiranya anda mengetahui skim pelaburan yang berunsurkan penipuan, anda digalakkan untuk membuat laporan polis.
Kenyataan bersama oleh:
Polis Diraja Malaysia
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
Suruhanjaya Syarikat Malaysia
Bank Negara Malaysia
Sumber: Facebook BNM
Semoga soalan yang tersebut dapat memberikan penjelasan kepada anda yang masih mahukan penjelasan.
Sekian, Terima kasih.
MINDA INSAN - Info Ditambah, Minda Bercambah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan