HALAMAN UTAMA

SIHAT : Botol Susu Diharamkan? Mengapa?

Assalamualaikum, hari ini saya ingin berkongsikan sesuatu yang amat popular pada masa kini mengenai jaminan keselamatan kesihatan diri dan orang lain. Apa yang saya maksudkan ialah mengenai bahaya penggunaan botol susu bayi yang mana biasanya digunakan oleh ibu-ibu yang mempunyai bayi. Menurut Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kenyataan yang telah dikeluarkan pada 11 Mac 2011, Pengharaman Botol Susu Bayi Polikarbonat Yang Mengandungi Bisphenol A. Saya melihat maklumat ini belum lagi diketahui dengan meluas secara umumnya. Oleh itu, suka saya berkongsikan kepada seluruh rakyat Malaysia mengenai pengharaman botol susu bayi polikarbonat oleh sebab kandungan Bisphenol A (BPA). Jadi, apa itu BPA? berikut penerangan yang diberikan BKKM, KKM.


1.       APAKAH ITU POLIKARBONAT?
Polikarbonat adalah plastik yang digunakan dalam pembuatan botol susu bayi.

2.       APA ITU BISPHENOL A (BPA)?
BPA  ialah  bahan  kimia   industri  yang  ditambah   dalam   botol   susu bayi polikarbonat untuk menjadikannya keras dan lutsinar.
3.       BAGAIMANA MENGENALI BOTOL SUSU BAYI POLIKARBONAT?
Botol   susu  bayi  polikarbonat  ini  boleh   dikenalpasti  melalui kod identifikasi  plastik   yang   biasa   didapati   di   bawah   botol   susu   bayi seperti berikut:-
a.       Nombor 7
b.       Nombor 7 dan PC
c.        Nombor 7 dan ‘other’   

Botol   susu  bayi  yang   bebas    BPA  biasanya    dilabelkan   dengan perkataan ‘BPA free’ atau ‘Bebas BPA’. 



4.       APAKAH KESAN BPA KE ATAS KESIHATAN MANUSIA?
BPA diketahui boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon yang menyebabkan gangguan sistem fungsi tubuh.

5.       BAGAIMANAKAH BAYI BOLEH TERDEDAH DENGAN BPA MELALUI BOTOL SUSU POLIKARBONAT?
BPA  boleh   berpindah  daripada   botol   susu   polikarbonat  ke   dalam susu bayi seperti berikut:
  Permukaan dalam botol susu bayi yang calar atau rosak.
  Air panas dimasukkan terus ke dalam botol susu bayi.



6.       APAKAH LANGKAH PROAKTIF KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA DALAM MENANGANI ISU INI?
  KKM mengambil keputusan  untuk mengharamkan penjualan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA berkuatkuasa 1 Mac 2012.
  KKM memberikan tempoh masa satu (1) tahun kepada pihak industri untuk menghabiskan botol susu bayi polikarbonat yang sedia ada di pasaran tempatan.
  KKM dengan kerjasama agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Penerangan akan membuat hebahan secara meluas kepada kumpulan sasar serta mengedarkan bahan-bahan pendidikan kesihatan berkaitan perkara ini.

7.       MENGAPA KKM MASIH MEMBENARKAN PENJUALAN BOTOL SUSU BAYI POLIKARBONAT SEHINGGA SATU (1) TAHUN WALAUPUN KESANNYA KE ATAS KESIHATAN MANUSIA TELAH DIKETAHUI?
Tindakan pengharaman penjualan botol susu bayi polikarbonat ini diambil   sebagai   langkah   berjaga-jaga kerana sehingga kini tiada bukti saintifik yang kukuh menunjukkan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA adalah selamat terutamanya untuk digunakan oleh golongan berisiko tinggi seperti bayi. KKM memberikan masa perubahan (transition  period) secara berperingkat  kepada  semua  pihak  untuk  ‘phasing  out’  botol  susu polikarbonat   yang   mengandungi BPA. Tindakan ini adalah selari dengan tindakan negara-negara lain yang telah mengharamkan BPA. 
      



8. KENAPAKAH PENGHARAMAN INI DIKENAKAN KE ATAS BOTOL SUSU BAYI SAHAJA?
Tindakan ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga kerana sehingga kini tiada bukti saintifik  yang   menunjukkan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA adalah selamat untuk digunakan oleh golongan berisiko tinggi seperti bayi.

9.  APAKAH LANGKAH BERJAGA-JAGA SEKIRANYA PENGGUNA MASIH MENGGUNAKAN BOTOL SUSU BAYI POLIKARBONAT?
Pengguna disarankan mengikut langkah berjaga-jaga seperti berikut :
i.  Steril botol susu bayi polikarbonat mengikut arahan pengendalian   yang   terdapat   pada   label atau yang diberikan oleh pengeluar sekiranya ada. Jika tiada, pengguna perlu merendam botol susu bayi polikarbonat dalam air yang mendidih selama 5 hingga 10 minit.
ii.    Elakkan menggunakan air panas secara terus dalam botol susu bayi polikarbonat untuk membancuh susu.
iii.  Guna peralatan mencuci botol susu yang sesuai seperti span dan berus yang lembut  bagi mengelakkan permukaan dalam menjadi rosak dan bercalar.
iv.  Sentiasa   periksa   permukaan dalam botol susu dan sekiranya terdapat    kesan    calar  atau rosak, botol susu perlu diganti. Sekiranya tiada kerosakan, botol susu perlu diganti setiap 6 bulan. 

Namun begitu, pengguna juga boleh membuat pilihan awal dengan menukarkan penggunaan botol susu bayi polikarbonat kepada botol susu bayi yang bebas BPA mengikut kemampuan masing-masing.

10.    APAKAH CARA TERBAIK UNTUK PENGGUNA SEKIRANYA MENGGUNAKAN AIR PANAS  UNTUK MENYEDIAKAN BANCUHAN SUSU DALAM BOTOL SUSU BAYI POLIKARBONAT?
Bancuhan susu boleh disediakan  terlebih dahulu di dalam bekas lain yang bersih dan selamat. Sebagai contoh, bagi bancuhan susu sebanyak 150ml, masukkan lebih kurang 100ml air panas ke dalam bekas lain yang bersih dan selamat dan tambahkan susu mengikut sukatan. Bila bancuhan susu menjadi suam, masukkan ke dalam botol susu bayi polikarbonat dan tambahkan air suam sehingga menjadi 150ml.

11.    APAKAH ALTERNATIF BOTOL SUSU BAYI YANG TERDAPAT DI PASARAN?
Terdapat pelbagai alternatif botol susu bayi di pasaran seperti yang diperbuat daripada polypropylene (PP), polyethersulfone (PES), polyamides (PA) kaca dan lain-lain.



12.    APAKAH NEGARA-NEGARA YANG TELAH MELARANG PENJUALAN BOTOL SUSU BAYI POLIKARBONAT?
Negara-negara yang telah mengambil langkah awal mengharamkan penjualan botol  susu  bayi  polikarbonat  yang  mengandungi BPA adalah Jerman, Perancis, Denmark, Kanada, Australia,  New Zealand dan negeri New York di Amerika Syarikat. Perkembangan terkini   adalah pengumuman pengharaman botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA oleh pihak Kesatuan Eropah.

13. APAKAH TINDAKAN YANG PERLU DIBUAT OLEH PENGGUNA SELEPAS 1 MAC 2012? 
      Walaupun tarikh penguatkuasaan ke atas pengharaman botol susu bayi polikarbonat di pasaran adalah pada 1 Mac 2012, pengguna yang masih menggunakan botol susu bayi polikarbonat di rumah perlu memeriksa keadaan botol susu tersebut dan sekiranya tiada calar atau rosak, ianya masih boleh digunakan mengikut panduan KKM. Jika ada calar atau rosak, pengguna perlu menukar botol susu bayi polikarbonat tersebut kepada botol susu yang bebas BPA.

14.    ADAKAH PUTING SUSU BAYI MENGANDUNGI BPA?
Tidak. Puting susu bayi biasanya diperbuat daripada bahan seperti silikon dan getah yang tidak mengandungi BPA.



15.    BAGAIMANA KEADAAN PENGGUNA YANG PERNAH ATAU TELAH LAMA MENGGUNAKAN BOTOL SUSU BAYI POLIKARBONAT?
Tindakan pengharaman penjualan botol susu bayi polikarbonat ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga kerana sehingga kini tiada bukti saintifik yang kukuh menunjukkan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA adalah selamat terutamanya untuk digunakan oleh golongan berisiko tinggi seperti bayi. Tindakan pengharaman ini juga diambil adalah berdasarkan   penemuan dan perkembangan terkini. Walau bagaimanapun, pengguna yang masih menggunakan botol susu bayi polikarbonat di rumah perlu memeriksa keadaan botol susu  tersebut dan sekiranya tiada calar atau rosak, ianya masih boleh digunakan mengikut panduan KKM. Jika ada calar atau rosak, pengguna perlu menukar botol susu bayi polikarbonat tersebut   kepada botol susu yang bebas BPA bagi mengurangkan pendedahan terhadap BPA.

16. ADAKAH PERKAKASAN DAN BEKAS MAKANAN/MINUMAN BAYI SEPERTI PINGGAN, SUDU DAN CAWAN PLASTIK JUGA MENGANDUNGI BPA?
Tidak. Perkakasan dan bekas makanan/minuman bayi biasanya diperbuat daripada bahan yang   tidak mengandungi BPA seperti silikon, polypropylene, dan stainless steel.

17.    ADAKAH BOTOL SUSU BAYI POLIKARBONAT MENGANDUNGI MELAMIN YANG BOLEH BERPINDAH KE DALAM SUSU?
Tidak. Botol susu bayi polikarbonat tidak mengandungi melamin.

18.  APAKAH CONTOH BEKAS MAKANAN ATAU MINUMAN LAIN YANG DIPERBUAT DARIPADA POLIKARBONAT YANG MENGANDUNGI BPA SELAIN DARIPADA BOTOL SUSU BAYI?
Bekas makanan atau minuman yang biasanya diperbuat daripada polikarbonat adalah seperti  botol  menyimpan air (tumbler) dan bekas air guna semula.

19.  KENAPA KKM TIDAK MENGHARAMKAN BEKAS MAKANAN ATAU MINUMAN LAIN YANG  DIPERBUAT DARIPADA BAHAN PLASTIK POLIKARBONAT? APAKAH TINDAKAN KKM SETERUSNYA?
Berdasarkan kepada pengetahuan masa kini dan bukti saintifik dari negara maju lain, tiada kesan terhadap kesihatan. Sehubungan itu tiada keperluan untuk mengambil sebarang tindakan pengharaman ke atas bekas makanan atau minuman lain yang diperbuat daripada polikarbonat selain daripada botol susu bayi buat masa ini. Semua bekas makanan atau minuman lain yang diperbuat daripada polikarbonat perlu mematuhi Malaysian Standard MS 2234:2009 – Plastic Materials and Articles Intended to Come into Contact with Food, di mana specific migration limit (SML) bagi BPA adalah pada paras 0.6 mg/kg (sama seperti negara EU). KKM akan terus memantau produk-produk bekas makanan dan minuman lain yang diperbuat daripada polikarbonat di pasaran tempatan serta mengikuti perkembangan saintifik antarabangsa dari semasa ke semasa berkaitan isu BPA ini. 
Antara kenyataan rasmi yang dikeluarkan KKM :-





Kenyataan yang dikeluarkan ini adalah sebagai panduan kepada pengguna di Malaysia dan untuk memberikan kesedaran dalam memastikan segala peralatan yang digunakan adalah bebas daripada sebarang bahan kimia yang boleh memberikan kesan panjang kepada kesihatan kita. Insya-Allah, banyak lagi info-info kepenggunaan yang melibatkan kesihatan pengguna akan saya kongsikan nanti.

Ini juga adalah rentetan daripada artikel saya beberapa tahun lalu Botol Plastik, Selamatkah kita?

Sekian, Terima kasih.

MINDA INSAN - Info Ditambah, Minda Bercambah.

Tiada ulasan:

Nuffnang