HALAMAN UTAMA

Sakitkah Aku? : Darah di waktu pagi (Part 1)

Kisah benar pengalaman penulis.

Salam, sedang tidur di pagi hari 25/10/2010, lebih kurang pukul 5.00 pagi. Tekak yang sudah lama berasa gatal-gatal menyebabkan aku terbatuk-batuk dengan kuatnya. Sehinggakanku menyangka bahawa aku sedang bermimpi untuk meludahkan kahak keluar. Oleh itu, keluarlah sesuatu yang disangkakan kahak yang aku ludahkan dan melelehlah ia ke atas dadaku. Sedangku dalam keadaan separuh sedar seakan-akan benda yang mengalir panas, aku meraba-raba dadaku dalam kegelapan. Sedar tidak sedar, sudah kering sedikit cecair itu dan aku mula berasa tidak selesa pada mulut dan bibirku.

Lantas bangun membuka lampu dan mencapai cermin. Masya-Allah, rupa-rupanya yang keluar itu adalah darah. Panik aku seketika dan memikirkan apakah yang perlu aku lakukan di waktu pagi begini? Tanpa berfikir panjang, terus aku mencapai kamera digital dan mengambil rupa keadaanku di waktu pagi itu. Sebagai bukti dan rakaman situasi sebenar kejadian.

Kerisauan menemani aku membersihkan darah yang sudah hampir kering sambil memikirkan apa yang perlu aku lakukan di waktu pagi itu. Tetapi tidak mengapa, perlu tenangkan diri dan ingatlah kepada Allah dan redha sahaja dengan apa sahaja yang dirancang-Nya. Waktu inilah kita akan lebih mengingati Allah dan mati. 

Pada paginya aku ke kelas seperti biasa. Di dalam perancangan aku akan ke klinik kesihatan pelajar UM untuk berjumpa dengan doktor bagi mengenal pasti masalah kesihatanku. Tiba masanya berjumpa dengan doktor, beliau pun tidak berani untuk membuat atau mengesahkan penyakit aku kerana tidak mendapat gambaran yang jelas puncanya. Tetapi diberikan aku sebotol dua untuk mengambil sampel kahak yang keluar bersama darah, jika boleh aku dapatkan.

Lebih kurang pukul 1.00 petang, selepas makan tengahari tekakku berasa gatal semula dan memaksa untuk aku batuk. Ketika itu, sukar dikawal lagi batukku sehinggakan keluarlah darah tanpa kahak daripada kerongkongku. Setiap kali aku batuk, seolah-olah terpancut darah dari saluran darah di dadaku. Sukar untuk digambarkan melainkan mereka yang pernah mengalaminya. Semakin risau dibuatnya melihatkan keadaanku yang tidak menentu.


Tanpa menunggu lama, terus aku ke klinik kesihatan pelajar UM sambil membawa sampel darah yang keluar, walaupun sedikit sahaja aku dapat ambil. Doktor pun tanpa berfikir panjang, terus aku dirujuk ke bahagian kecemasan PPUM pada petang itu juga.

Dalam pukul 2.45 petang, aku mula menunggu dengan tenang untuk berjumpa dengan doktor. Mujurlah ketika itu, sedikit sahaja pesakit yang menunggu untuk di bahagian kecemasan. Selepas sedikit pemeriksaan dibuat, barulah aku dirujuk kepada doktor dan disoal dengan beberapa soalan untuk memastikan apakah sakit yang aku alami.

Pada petang itu juga, darah aku diambil, paru-paruku di x-ray, air kencingku diambil untuk dibuat ujian dan diperiksa. Lebih kurang pukul 4.30 petang aku perlu menunggu keputusan hasil ujian yang sedang dijalankan. Keadaan tenang dengan air yang masukan ke dalam badanku hampir setengah jam itu tidak bertahan lama apabila tekakku mula menimbulkan rasa tidak selesa dan gatal-gatal. Keadaan ini membuatkan aku tidak tahan mahu melepaskan batuk.

Walaupun cuba aku tahan untuk tidak batuk, namun ianya tidak berjaya apabila aku telah mengeluarkan bercawan-cawan darah daripada tekakku yang aku rasakan darah itu keluar daripada peparu. Hampir 5 minit juga aku sendirian batuk sambil keluar darah dengan banyaknya. Jururawat pun sukar untuk aku panggil apabila batuk menguasai diri.

Akhirnya, berjaya juga aku menarik perhatian jururawat untuk memberitahu keadaan aku ketika itu. Saat genting aku batuk dengan darah tidak berakhir di situ apabila aku mula dibawa menggunakan kerusi roda ke bilik lain. (bersambung)

Sakitkah Aku? : Kata Doktor... (Part 2)

Sekian, Terima kasih.

Tiada ulasan:

Nuffnang