HALAMAN UTAMA

Boleh ke, 'menyimen' motosikal? Serius ni!

Alhamdulillah, sudah lebih enam bulan bersama si CT. Adakah si CT telah berjaya memberikan kepuasan? Apakah yang diperolehi bersama si CT? Wah~ banyak ye persoalan bersama CT ni. Hehe... Tak mengapalah, saya sebagai seorang rakyat Malaysia berbangga dengan CT. "Ala, barang buatan Malaysia ni bukan berkualiti pun", "Tak baguslah barang Malaysia ni, amik yang ni la, bagus, tahan lama", "Malaysia ni tak reti buat barang yang bagus-bagus la". Begitulah antara kenyataan-kenyataan yang biasa dikeluarkan oleh segelintir rakyat Malaysia.

Kenyataan begitu sering kali kedengaran apabila ingin membeli produk buatan Malaysia. Namun, kadang-kala ada benarnya juga kenyataan tersebut, tetapi tidak semuanya begitu, dan ada juga perubahan yang telah dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan produk buatan Malaysia dapat terus bersaing dan setanding dengan produk luar negara. Pada saya, Malaysia pun apa kurang hebatnya dengan negara-negara lain. Sebenarnya, saya tidaklah berniat untuk berbincang mengenai produk Malaysia secara keseluruhannya. Tetapi, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak dengan apa yang saya dapat sepanjang bersama si CT110 ni.


Saya sebenarnya langsung tidak tahu apa-apa dalam dunia motosikal ni sebab pertama kali memiliki motosikal sendiri. Jadi, nak tak nak, kenalah ambil tahu sedikit sebanyak mengenai motosikal ni. Baru-baru ni, si CT WTJ ni ada masalah pada besi pemegang box. Oleh sebab kebimbangan dengan keadaannya yang mungkin boleh menjadi lebih teruk, saya menghantarkannya ke kedai untuk diperiksa masalah tersebut. Selepas diperiksa, diberitahu bahawa penyambung besi untuk pemegang skru box telah pun berlaku keretakan dan menyebabkan ianya tidak dapat menampung bebanan lagi.

Jadi, disyorkan supaya si CT ni, di'simen' (welding la) di tempat tersebut untuk membaiki pemegang tersebut supaya terus dapat menahan bebanan yang dibawa. Nak tak nak kena la buat juga, sebab box tu satu keperluan juga kan. Penyelesaian seterusnya bagi mengelakkan masalah ini daripada terus berulang ialah dengan menukar besi pemegang box tersebut kepada yang pemegang box yang memegang pada besi absober supaya ianya lebih kuat untuk menahan bebanan. Apa pun, terpaksalah saya mengeluarkan sedikit kos bagi memastikan CT WTJ terus berada dalam keadaan yang baik.


 Masalah pada pemegang skru box.


 Keretakan sebelah kanan pemegang.


 Keretakan pada sebelah kiri pemegang.

 
 Keretakan yang disebabkan pemasangan box.
 

 Pandangan daripada bawah sebelah kanan pemegang.


Pandangan daripada bawah sebelah kiri pemegang.


Masalah ini, saya juga telah kemukakan kepada pihak Modenas untuk mendapatkan penjelasan mengenai pemegang skru bagi box pada produk mereka. Berikut ialah email yang saya hantar kepada pihak Modenas :-
______________________________________________________________

Feedback posted on 7/6/2010 1:51:06 PM:-
Remarks : Salam, saya ingin membuat aduan mengenai produk Modenas CT110
yang telah dibeli. Sebagai pengguna, saya sentiasa menyokong produk
Malaysia dan berbangga kerana model ini mempunyai reka bentuk yang sangat
menarik. Saya juga rasa berbangga untuk mempromosikan Motosikal produk
Modenas atas sebab kualitinya yang sangat baik.

Namun begitu, saya mula merasa ragu dan sengsi apabila mendapati beberapa
masalah yang mungkin akan timbul daripada produk ini. CT110 saya telah
mempunyai masalah selepas memasang box sebagai eksesori tambahan.

Saya mendapati penyokong box untuk CT110 tidak sesuai untuk digunakan
kerana kenipisan pada besi penyokong skru yang menyebabkannya mempunyai
keretakan yang dianggap serius kerana tidak dapat menampung box.

Untuk makluman, saya baru menggunakan box saiz medium dalam masa 5 bulan
tetapi tidak membawa muatan yang berat pun. Tetapi apabila diperiksa pada
penyokong besi selepas mendapati kelonggaran pada besi penyokong box, saya
mendapati pemegang skru tersebut telah retak hampir 60%.

Jadi sebagai pengguna CT110, saya berasakan amat terkejut juga, mengapa
ini boleh berlaku kerana belum sampai setahun pun memasang box. Yang
membuatkan lebih kecewa dan sedih apabila penjual ataupun pomen kedai pun
tidak yakin dengan produk keluaran Modenas kerana masalah kualiti.

Tidak hairanlah, mengapa apabila saya ingin membeli motosikal Modenas,
mereka tidak mencadangkan produk modenas. Kerana keadaan yang begitu rupa
yang sering berlaku masalah kepada produk Modenas. Jadi bagaimana, kita
sebagai pengguna produk Modenas mahu meyakinkan pengguna?

Bagi saya, Modenas boleh pergi jauh dengan meningkatkan tahap kualiti
produknya. Banyak perkara yang remeh perlu diambil perhatian supaya ianya
dapat bersaing dengan produk antarabangsa yang lain.

Di sini, saya ingin menyarankan supaya Modenas dapat memastikan kes
seperti ini dapat dikurangkan atau dielakkan daripada produk keluaran
untuk model-model yang akan datang.

Saya juga ingin meminta penjelasan, adakah ianya sememangnya direka untuk
motosikal yang tidak sesuai untuk memasang box? Jika ia, adakah standard
tersebut sesuai diaplikasikan dalam semua produk modenas yang mempunyai
harga yang murah? Bagaimanakah pula pembeli ingin yakin, jika terdapat
kekurangan yang menyebabkan mereka mempunyai masalah ketika
menggunakannya?

Jadi, jika ingin diulas lagi, memang banyak yang ingin diperkatakan.
Namun, harap pihak modenas dapat memberikan respon untuk mengatasi masalah
CT110 khususnya masalah box yang dipakai. Mengapa besi penyokong tersebut
terlalu nipis? Apa kata Modenas?

Sekian Terima Kasih.
Name : Farid bin Aspar
_______________________________________________________________


Tak sampai sehari email tersebut dihantar, pihak Modenas telah menghubungi saya dengan memberikan jalan penyelesaian kepada masalah tersebut. Namun, saya telah terlebih dahulu menyelesaikan masalah tersebut. Jadi, apa yang dijelaskan pihak mereka, CT ni perlu kepada pemegang box yang di bahagian bawah untuk memastikan ianya lebih berada dalam keadaaan baik. Mungkin satu perkara yang pihak mereka terlepas pandang dengan reka bentuk CT.
Pada pandangan saya, motosikal tempatan juga perlu mempunyai satu ciri-ciri motosikal yang sangat fleksibel yang mana reka bentuknya perlulah tahan kepada keadaan yang biasa dilakukan oleh pengguna motosikal Malaysia. Oleh kerana, pelbagai latar belakang pengguna motosikal di Malaysia yang mungkin ingin menambah eksesori sebagai tambahan kepada motosikal mereka. Jadi, jika produk tersebut tidak fleksibel, maka ia akan memberikan masalah dan menyebabkan penggunaan motosikal akan menjadi terbatas penggunaannya kepada sesuatu kegunaan sahaja oleh kerana kelemahan yang ada.

Namun, dengan penjelasan dan respon yang diberikan pihak Modenas yang bersedia untuk menyelesaikan masalah yang timbul pada produk mereka, amat melegakan saya dan dalam masa yang sama, mereka perlu lebih teliti dengan kualiti produk yang dihasilkan. Jika mereka terus berusaha gigih dengan meningkatkan kualiti produk mereka, maka hasilnya akan lebih baik lagi pada masa akan datang. Insya-Allah.

Jadi, sebagai pengguna CT110, saya mengesyorkan juga kepada pengguna yang ingin memasang box agar menggunakan pemegang box seperti yang saya pakai sekarang. Hal ini, bagi mengelakkan masalah yang telah berlaku kepada saya tidak berlaku kepada anda. Kelemahan pada CT110 ini dapat diatasi dengan pemilihan pemegang besi yang lebih sesuai dengan reka bentuknya. Jika digunakan pemegang hanya pada besi penyokong dibelakang, kemungkinan ia akan menimbulkan masalah di masa yang akan datang kelak.

Keadaan selepas di'simen (dipatri/welding).


Besi pemegang baru yang dipasang memegang satu di bahagian tersebut.


Wajah pemegang box baru yang telah siap dipasang.


CT WTJ selepas dicuci.


Jadi, pada saya, setiap masalah atau kekurangan yang ada pada produk-produk Malaysia lebih baik dirujuk atau dimaklumkan kepada mereka. Sekurang-kurangnya, kita sebagai rakyat Malaysia juga bertanggungjawab dan perlu membantu untuk meningkatkan lagi kualiti produk Malaysia. Jika kita tidak bertindak untuk merujuk dan meminta penjelasan, berkemungkinan mereka tidak sedar atau terlepas pandang perkara ini. Mereka juga perlu bertindak proaktif bagi memastikan kualiti terus dipertingkatkan di masa akan datang. Siapa lagi yang akan menyokong produk Malaysia, jika bukan kita sendiri.

Saya akan sentiasa berada di belakang produk-produk buatan Malaysia selagi mana mereka mempunyai dasar yang akan sentiasa memperbaiki kelemahan yang ada dan sentiasa mengutamakan kulaiti daripada kuantiti yang dihasilkan. Insya-Allah. Inilah salah satu cara untuk Malaysia mengukuhkan ekonomi sendiri daripada bergantung kepada negara-negara lain, seolah-olah kita memerlukan mereka untuk terus membangun dan maju. Kritikan tanpa tindakan kita sendiri, seolah-olah memberikan senjata kepada musuh, yang mana pada bila-bila masa sahaja mereka boleh 'membunuh' kita apabila mereka mempunyai kuasa barangan. Jadi Utamakanlah barangan Buatan Malaysia.

Jom Join :-

Sekian, Terima Kasih.

MINDA INSAN - Info Ditambah, Minda Bercambah.

Tiada ulasan:

Nuffnang