HALAMAN UTAMA

Kemuncak Juraian Meteor Perseid 12 dan 13 Ogos 2012

Assalamualaikum, bermula esok malam sehingga 12 dan 13 Ogos 2012, telah dimaklumkan bahawa kemuncak juraian meteor Perseid dapat dilihat. Untuk rakyat Malaysia pula, anda boleh menyaksikan sendiri juraian meteor di langit pada waktu malam di kawasan yang cerah dengan keadaan cuaca yang baik. Berikut adalah siaran media yang diperolehi daripada laman sensawang ANGKASA.

Berikut antara petikan tersebut:
SIARAN MEDIA 

Rakyat Malaysia berpeluang untuk menyaksikan Hujan Meteor Perseid Kuala Lumpur, 9 Ogos – Masyarakat Malaysia berpeluang untuk menyaksikan juraian hujan meteor Perseid bermula 23 Julai hingga 22 Ogos ini. Dianggarkan sejumlah 60 juraian meteor akan dapat dilihat pada masa kemuncaknya iaitu bermula dari awal pagi 12 hingga 13 Ogos ini. Titik meteor Perseid ini adalah daripada buruj Perseus yang berada di langit Malaysia sejak Julai hingga Mac tahun hadapan. Walau bagaimanapun, hujan meteor ini hanya boleh dilihat di kawasan-kawasan yang kurang mengalami pencemaran cahaya dan bergantung kepada keadaan cuaca langit malam tersebut.. Bagi menyaksikan sendiri hujan meteor ini, pandang ke arah timur laut selepas waktu tengah malam. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Planetarium Negara di talian 03-2273 4303 / 4301 .

Sebelum itu, sedikit penerangan mengenai meteor perseids pada 12-13 Ogos 2012 dalam video di bawah yang boleh diperoleh di laman sensawang NASA:


Berikut pula antara Soalan Biasa Yang Ditanya (FAQ) yang dipetik daripada laman web FALAKONLINE:-

Juraian Meteor Perseids akan berlaku pada 11,12 dan 13 Ogos 2012 ini.  Berikut merupakan sesi soal jawab yang ditanya oleh wartawan FO kepada saya tempoh hari… ;-)

Bila meteor ini akan muncul?
Secara asasnya ia dah mula muncul, tetapi kemuncaknya ialah pada 12/13 Ogos nanti.
Berapa jumlah meteor yang boleh dilihat?

Meteor Perseids ini selalunya memiliki rekod kemunculan yang baik, dengan kadar 50 meteor sejam boleh dilihat. Ada juga yang mengatakan ia boleh naik sehingga 60-70 meteor sejam

Betul ke ni?
Err… betul la… tak kan nak tipu bulan posa ni..! Kalau nak tahu lebih terperinci, boleh rujuk ke web International Meteor Organization ini.

Ok,ok.. apa cara kita nak tengok meteor ni?
Cara yang betul ialah, guna MATA je. Tak perlu teleskop, tak perlu binocular. Hanya mata menjadi teman anda.

Lagi satu, seeloknya carilah tikar atau kerusi malas, dan baring sambil pandang ke arah langit. Posisi ini lebih selesa dan kita tak akan sakit tengkuk nanti! Tapi awas, jangan terlalu selesa sampai tertidur pulak!



(Gambar hiasan: Cara melihat meteor yang betul (berbaring), dan yang tak berapa nak betul (yang bro sebelah kiri tu confirm akan sakit tengkuk! ;-)

Arah mana nak tengok?
Meteor Perseids ini sebenarnya akan kelihatan ‘muncul’ dari arah buruj Perseus, sebuah buruj di kawasan langit utara. Namun, ia boleh dilihat merata-rata di langit. Kita tak boleh nak agak di kawasan mana yang muncul. Kita hanya perlu tumpu dan focus kepada satu kawasan je.

Rajah di bawah menunjukkan kedudukan buruj Perseus yang akan kelihatan dari Malaysia pada sekitar jam 2 pagi.  Perhatikan buruj itu masih lagi agak rendah di ufuk Timur Laut, dan baru sahaja terbit. Anak panah menunjukkan laluan atau pergerakan meteor Perseids yang akan dilihat apabila ia merentasi langit.



Jadi, kena tengok arah timur laut ke?
Tak.  Berdasarkan pengalaman saya mengejar meteor ni, jangan tumpukan sangat ke arah buruj tu. Cuba tumpukan ke kawasan lain, contoh di arah bertentangan ke, di atas kepala ke.
Waktu bila sesuai untuk tengok kemunculan meteor ni?
Selalunya waktu yang paling bagus ialah selepas tengah malam, menuju ke Subuh. Namun, untuk meteor Perseids kali ni, Bulan akan terbit sekitar 2.30 pagi (Kuala Lumpur) pada awal pagi 12 Ogos nanti. Maka, seeloknya cubalah lihat sebelum Bulan terbit.

Kenapa kalau Bulan ada tak boleh tengok meteor?
Bukannya tak boleh tengok meteor, tapi cahaya sinaran Bulan itu akan menyebabkan langit menjadi terang. Bila langit terang, cahaya meteor-meteor ini akan tenggelam dan menyukarkan untuk kita melihatnya.

Bagaimana rupa meteor tu nanti?
Meteor itu akan muncul sekejap aje. Hanya 1-2 saat. Kadangkala jika bernasib baik kita akan dapat lihat yang agak besar dan lebih terang, serta kemunculannya boleh bertahan sehingga 4-5 saat.

Foto di bawah diambil oleh fotographer Harris McHorror, di Kota Kinabalu pada 5 Ogos lepas. Ia merupakan satu contoh baik bagaimana rupa sebuah meteor yang dapat dirakam menerusi kamera.


(Photo credit Harris McHorror)

Dari KL boleh tengok ke?
Meteor-meteor ini kebanyakkannya agak kelam kecerahannya. Maka sebaiknya, pergi keluar dari KL atau kawasan yang banyak cahaya, dan cari kawasan yang langitnya gelap, contoh di kawasan kampung dan tepi pantai, atau tengah-tengah hutan.

Di Kampung Baru boleh nampak?
Adoii.. Kampung Baru tu tengah-tengah KL la bang, jirannya KLCC, memang confirm tak boleh nampak!

Lagi satu, boleh ambik gambar ke?
Meteor-meteor boleh diambil dengan menggunakan kamera DSLR, dan menggunakan lens wide-angle. Halakan di mana-mana kawasan langit, kemudian set-kan waktu dedahannya selama yang mungkin,  contoh 30 saat ke. Kalau ada remote shutter control, lebih baik kerana boleh set BULB mode pada DSLR dan boleh ikut suka kita nak berapa lama nak buka shutter kamera tu.

Namun, hasilnya juga bergantung kepada nasib. Walaupun meteor-meteor ni mudah dilihat dengan mata, namun cahayanya masih agak kelam untuk ditangkap oleh kamera kita.

Walaupun begitu, tak salah kalau nak cuba.

Wallahualam.

Kredit: FalakOnline

Sekian, Terima kasih. 

MINDA INSAN - Info Ditambah, Minda Bercambah.

Tiada ulasan:

Nuffnang