HALAMAN UTAMA

Fenomena Gerhana : Bila Gerhana ni?

Salam semua, selamat tahun baru hijrah dan masihi. Pada tahun baru kita kali ini telah disambut dengan berlakunya fenomena gerhana bulan yang berlaku pada waktu paginya. Tahukah anda akan fenomena ini? Saya yakin anda sudah sedia maklum. Walaupun begitu, memandangkan fenomena ini sering sahaja berlaku sejak akhir-akhir ini, berapa ramaikah yang sedar dan tahu apa yang perlu dilakukan ketika berlaku gerhana?

Pada hari ini, 15 Januari 2010 akan berlaku satu lagi fenomena gerhana yang mana bulan akan berada di antara matahari dan bumi yang mana akan menyebabkan berlakunya gerhana matahari yang dijangkakan berlaku lebih kurang pukul 3.01 petang waktu Malaysia. Oleh itu, beberapa Masjid akan menganjurkan majlis solat sunat kusuf pada waktu tersebut. 

Dengan itu, saya sertakan artikel yang dipetik dari sumber JAKIM seperti di bawah mengenai gerhana matahari:-

MAJLIS SOLAT SUNAT GERHANA MATAHARI DAN CERAPAN SEMPENA
GERHANA MATAHARI SEPARA 29 MUHARRAM 1431H (15 JANUARI 2010)


Satu fenomena gerhana matahari separa akan berlaku pada hari Jumaat
15 Januari 2009 bersamaan 29 Muharram 1431 H. Fasa-fasa gerhana matahari separa bagi Kuala Lumpur adalah seperti berikut:


Fasa Sentuhan Pertama (Mula Gerhana): 3:01 PM
Fasa Maksimum (29 % Matahari Tertutup):4:26 PM
Fasa Sentuhan Terakhir (Tamat Gerhana): 5:38 PM


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama-sama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Intitut Tanah dan Ukur Negara (Instun), Planetarium Negara, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Mufti Selangor akan menganjurkan Majlis Solat Sunat Gerhana Matahari (Solat sunat Kusuf) dan cerapan gerhana di empat masjid utama iaitu, Masjid Putra, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Putrajaya), Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur).




Lokasi utama Majlis Solat Sunat Gerhana Matahari dan Cerapan pada
kali ini akan diadakan di Masjid Putra, Putrajaya. Sehubungan itu semua lapisan masyarakat adalah dijemput hadir bagi sama-sama menyaksikan fenomena yang jarang berlaku di negara kita dan seterusnya menyertai solat sunat gerhana matahari (kusuf) yang dijadualkan pada jam 3.45 petang sepertimana Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

 
"Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda daripada tanda-tanda kebesaran Allah S.W.T, tidak berlakunya gerhana kerana kematian atau kelahiran (kemunculan) seseorang, maka apabila berlakunya gerhana, hendaklah melakukan solat sunat gerhana dan berdoalah kepada Allah sehingga berakhirnya gerhana".

Masjid dan surau seluruh Malaysia juga adalah digalakkan untuk mengadakan Solat Sunat Gerhana Matahari (Kusuf) pada waktu kejadian fenomena gerhana matahari tersebut.

Simulasi gerhana matahari separa dari pandangan empat masjid utama
tersebut dapat dilihat seperti di lampiran.


Kaifiat Solat Sunat Gerhana:


"Usholli sunnatan khusyuf rak'ataini lillahitaala"
Maksudnya : Sahaja aku menunaikan solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.

Solat sunat gerhana boleh dilakukan sama ada secara berseorangan atau berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Solat sunat gerhana dilaksanakan sebanyak 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 ruku’ dan 4 sujud. Cara-cara solat adalah seperti berikut:


Rakaat pertama:
Takbir (niat solat sunat gerhana).
Bacaan al-Fatihah dan surah.
Ruku’.
Iktidal.
Bacaan al-Fatihah dan surah.
Ruku’.
Iktidal.
Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.


Rakaat kedua:
Sama seperti rakaat pertama.


Disediakan oleh:
Cawangan Falak
Bahagian Penyelidikan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia


Walaubagaimanapun, terdapat juga masjid-masjid lain yang turut menganjurkan majlis solat sunat gerhana ini di kawasan masing-masing.Oleh yang demikian, saya juga menyeru kepada sesiapa yang berkesempatan agar dapatlah bersama-sama untuk mengikuti majlis solat sunat gerhana tidak kira di mana anda berada. Walaupun sering berlaku gerhana, kadang-kala kita tidak berkesempatan untuk mengikuti majlis tersebut. Namun, seharusnyalah kita mengambil kesempatan untuk melihat kebesaran Allah yang akan dapat dirasai oleh orang-orang yang beriman dan bertaqwa sahaja. Semoga kita termasuk dalam golongan tersebut. Insya-Allah.


Anda boleh juga mendownload maklumat berguna berikut :-
Artikel Gerhana Matahari
Solat Sunat Gerhana Matahari

p/s: niat diatas diedit ke bahasa melayu atas sebab tiada font arab.

"MINDA INSAN: INFO DITAMBAH, MINDA BERCAMBAH"
Sumber :JAKIM, FalakOnline.

Tiada ulasan:

Nuffnang